ADAKAH anda kenal dengan kumpulan Slash yang popular pada tahun 1995? Mereka cukup popular dengan lagu Taman Astakona dan karya itu sehingga kini menjadi pilihan kaki-kaki karaoke. Nampaknya kehilangan mereka tidak lama apabila Slash tampil dengan single terbaharu berjudul Melodi Kasih. Masih mengekalkan konsep pop rock tetapi menariknya lagu terbaharu ini, Slash memasukkan elemen rap sebagai menampilkan kelainan dan segar. "Kami mahukan sebuah lagu yang santai berbaur pop dan catchy. "Sewaktu menulis liriknya datang pula idea untuk memasukkan unsur rap bagi menambah warna kepada lagu itu. Slash kembali aktif dalam industri seni. "Harap-harap peminat akan menerima baik lagu ini terutama dalam menarik peminat baharu," kata Joe mewakili Slash. Slash yang ditubuhkan pada tahun 1994 menampilkan barisan ahli iaitu Nuar (vokalis), Joe dan Rafix (gitaris), Jack (bass) serta Alin (drum). Dalam pada itu, Joe berkata, Melodi Kasih adalah gambaran terhadap permulaan kembara hidupnya dalam industri muzik sejak 20 tahun lalu. Pun begitu katanya, lagu itu sarat dengan elemen cinta selain kekuatan melodinya yang diyakini dapat diterima baik pendengar. Bercakap lanjut mengenai lagu itu, Joe berkata, Melodi Kasih dicipta sepenuhnya olehnya dan diterbitkan oleh Adi 6ixthsense selaku penerbit. "Proses rakaman single ini mengambil masa sebulan untuk di siapkan di studio NAR Kuala Lumpur manakala proses mastering dilakukan di Studio301 Sydney, Australia," katanya.