suria

Monoloque Cari Kelainan Lancar Single Di Rumah Flat

Loque cipta lagu ke arah kerohanian. -foto ZAHID IZZANI/The Star

BOSAN dengan majlis eksklusif di hotel dan restoran mewah, Monoloque tampil kelainan dengan mengadakan pelancaran single terbaharu mereka berjudul Slagi Ada Waktu di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR),  Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur.

Vokalisnya, Loque, berkata, lokasi dipilih itu bersesuaian dengan single tersebut yang mempunyai bait lirik dekat dengan masyarakat.

"Lagu ini banyak tentang masyarakat, ada memuji dan ada juga yang menyindir sebab itu kami pilih tempat ini sebagai lokasi pelancaran.

"Kami mahu ia ada simbolik tertentu dan dekat dengan akar umbi. Sepanjang jadi anak seni kami hanya melancarkan lagu dalam majlis-majlis di Hard Rock atau restoran mewah sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

MonoloQue melancarkan single di perkarangan PPR Pudu Ulu pada Jumaat.

MonoloQue turut dianggotai oleh Dax (bes, vokal), Ijoo (gitar utama), Bakri (dram) dan Syafikraz (percussion).

Slagi Ada Waktu merupakan single dalam album kedua MonoloQue berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa yang bakal dilancarkan penghujung bulan ini.

Tambahnya, lirik lagu tersebut menceritakan tentang perjalanan seseorang yang pernah lalai ingin kembali mencari jalan pulang.

Loque turut bermesra dengan penduduk di PPR Pudu Ulu.

Katanya, lagu bergenre balada itu lebih ke arah kerohanian universal yang juga percubaan pertama MonoloQue.

"Lagu ini lebih ke arah agama dan kerohanian, namun dia bersifat universal sesuai untuk semua kaum dan agama.

"Lagu ini siap pada tahun 2014 dan sudah beberapa kali buat perubahan mengikut kesesuaian sehingga saya buat keputusan untuk kurangkan instrument agar mesejnya sampai kepada pendengar," ujarnya.

Slagi Ada Waktu boleh dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music, Sportify, JOOX, Yonder, iTunes dan KKBox.

Monoloque

Artikel Lain