PELAKON Amar Baharin berkata, kandungan isterinya iaitu Amyra Rosli sudah 'berat' sehingga dia perlu dibantu untuk bangun. Malah isterinya juga turut mengidam untuk makan buah durian. "Nasib baik permintaannya itu senang ditunaikan. Kalau tak, susah juga hati saya sebab sebolehnya saya tidak mahu menghampakan permintaannya takut nanti kempunan. "Ini pun saya terpaksa pantau kerana tahu buah durian itu 'panas'. Namun untuk tidak menghampakannya, saya hanya memberi dia rasa beberapa ulas sahaja," katanya kepada mStar Online. Amar ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada peminat drama mini Masam Manis PaRam bersama Coway di Bijan Bar & Restaurant, Bukit Ceylon, pada Isnin. Kandungan Amyra kini sudah memasuki usia enam bulan dua minggu dan dia dijangka melahirkan bayi sulung pada penghujung Oktober ini. Sementara itu Amar, 32, turut memaklumkan sehingga kini dia masih belum mengetahui jantina anaknya dan menganggap ia sebagai satu kejutan. "Bayi kami dah cukup sifat namun setiap kali buat pemeriksaan jantina, ada sahaja yang menghalang untuk kami nampak jantinanya apabila kedudukan kaki bayi yang berlipat, bersilang dan ia terlindung. "Pun begitu kami tidak kisah soal tersebut asalkan semuanya selamat dan dipermudahkan," katanya. Sehingga kini Amar belum membuat sebarang persiapan menyambut kelahiran bayi sulungnya yang dijangka lahir pada penghujung Oktober ini. Tambah Amar, dia juga akan mengikut jejak beberapa selebriti lain untuk mewujudkan laman akaun Instagram khas buat bakal anaknya nanti. Perkara tersebut tidak menjadi kesalahan dan dilihat sebagai langkah terbaik berkongsi kisah anaknya di laman Instagram kepada peminat. "Sebagai selebriti, saya harus akur dengan perkara ini dan tiada sebab untuk saya berkata tidak bagi perkara tersebut kerana ini bakal menjadi antara kenangan terindah untuk ditatap pada masa hadapan. "Justeru, kalau ditanya tentang itu, jawapan saya sekarang pasti ya!" katanya. Dalam pada itu Amar turut memberitahu, dia kini masih dalam proses rundingan bersama beberapa buah stesen televisyen yang berhasrat menyiarkan secara eksklusif perjalanan kisah kehamilan isterinya itu sehingga kepada proses kelahiran. Bagaimanapun kata pelakon Cinta Di Langit Cardiff ini lagi, dia harus memilih sebuah stesen televisyen sahaja dan sehingga kini masih belum membuat keputusan bagi tujuan itu. "Saya masih belum membuat sebarang keputusan stesen TV mana yang akan diberi hak eksklusif tersebut kerana ada yang sudah mula merisik sejak awal kehamilan Amyra lagi. "Pun begitu, saya harus pertimbangkan agar keputusan dibuat memberi kebaikan pada kedua-dua pihak. "Selain itu Amyra sendiri meletakkan syarat agar tidak disiarkan wajahnya dalam keadaan serabai dan 'kalut' ketika melalui proses kehamilan," katanya. Ditanya mengenai persiapannya bergelar seorang bapa, Amar akui dia beruntung kerana sepupu Amyra mempunyai seorang anak berusia lapan bulan dan dia banyak belajar serta mendapat pendedahan awal bagaimana untuk menguruskan seorang bayi.