suria

Alif Satar Enggan Pentingkan Diri

Isteri dan anak-anak adalah kekuatan Alif Satar. Foto Instagram @alifsatar

SELEPAS 12 tahun mengharungi turun naik sebagai artis, nama Alif Satar pada hari ini semakin kukuh bukan sahaja sebagai penyanyi malah pelakon dan pengacara.

Biarpun semakin selesa dengan kedudukannya, Alif bagaimanapun tidak mahu pentingkan diri dengan menumpukan perhatian kepada kerjaya seni sahaja sebaliknya perlu mengutamakan keluarga.

Akui penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku ini, walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen namun dia sedaya upaya mahu mencari peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Alif dan Sha Dila berkahwin pada 2014.

"Kalau dulu bujang boleh buat sesuka hati tetapi apabila sudah berkahwin dan mempunyai dua anak saya tidak boleh mementingkan diri.

"Saya memang sibuk tetapi saya kadang-kadang tidak tahu bagaimana saya dapat cari masa dalam mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.

"Saya perlu mencari masa itu kerana keluarga adalah segala-galanya dan kalau ada peluang memang saya akan melekat dengan mereka sahaja," katanya.

Alif, 27, berkahwin dengan Sha Dila Halid pada 15 September 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Alisha Anugerah, 2, dan Ariana Mecca yang kini berusia lima bulan.

Kata Alif, dia sentiasa mengingatkan dirinya agar sentiasa bersikap merendah diri.

Alif bakal bertindak sebagai pengacara program Clever Girl Malaysia musim kedua.

Suatu ketika dahulu saya pernah mendapat bayaran hanya RM500 sahaja untuk mengadakan persembahan pentas tetapi itu bukan bererti saya boleh berputus asa.

"Permulaan dalam melakukan sesuatu perkara memang tidak selalunya indah namun kita perlu terus pandang ke hadapan bagi memajukan diri.

"Itu prinsip yang sentiasa saya pegang dan Alhamdulillah selepas 12 tahun dalam industri ia mula membuahkan hasil," katanya.

Dalam perkembangan lain, selain menjadi hos Clever Girl Malaysia, Alif kini bakal muncul dengan drama bersiri Red Velvet bersama Neelofa tidak lama lagi.

Dia juga akan tampil dengan single terbaharunya yang juga lagu tema filem lakonannya Kau Yang Satu.

Alif Satar, Clever Girl Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain