suria

Persis 'Hilang' Kerana Tak Puas Hati

Kumpulan Persisi dari kiri: Surip, Wan, Krool, Zahari dan Iju. FOTO: EBBY SAIFUL.

PERNAH dicalonkan dalam kategori Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM) pada 2014, kumpulan Persis ‘hilang’ selepas itu. 

Namun vokalisnya, Khairul Nizam Idris menjelaskan ia bukan kerana  mereka tidak mempunyai produk terbaharu atau merajuk sebaliknya tidak berpuas hati dengan penghasilan single terbaharu mereka, Mimpi. 

Jelasnya, lagu itu  siap pada 2015 namun proses susunan yang dilakukan di Sweden membuatkan mereka tidak berpuas hati dengan hasilnya. 

"Pihak syarikat rakaman kami Sony Music Malaysia mahukan lagu itu menjalani susunan muzik di Sweden tetapi hasilnya tidak kena dengan jiwa kami. 

"Hasil perbincangan dengan syarikat, kami ambil keputusan untuk buat susunan sendiri walaupun pada asalnya pengurusan tidak bersetuju. 

"Namun akhirnya mereka akur dengan permintaan kami dan Alhamdulillah lagu Mimpi berjaya disiapkan pada awal tahun ini," katanya. 

Persis ditemui pada pelancaran Mimpi yang diadakan di Red Box Karaoke The Gardens, Kuala Lumpur, Khamis. 

Kumpulan Persis mengharapkan sambutan kepada karya terbaharu mereka. FOTO: EBBY SAIFUL

Selain Khairul atau Krool, Persis turut dianggotai oleh Mohamad Izwan Talhah (gitar), Wan Zulfizrin Mohd Zin (gitar), Rajwan Juni (drum) dan Nor Zahari Zakaria (bes). 

Menerusi AIM21, mereka dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki). 

Dalam pada itu, Krool berkata, kelewatan lagu susunan baharu itu dilancarkan kerana kekangan bajet menyiapkan Mimpi memandangkan ia sudah banyak dilaburkan semasa proses di Sweden. 

Katanya lagi, mereka terpaksa menggunakan bajet dengan sebaiknya dan beruntung mempunyai ramai kenalan dalam industri tempatan untuk membantu menyiapkan single terbaharu itu. 

"Sebenarnya sejak awal kami hendak buat sendiri dengan menggunakan khidmat penerbit tempatan namun ketika itu syarikat rakaman berkeras untuk menyiapkan lagu itu di luar negara. 

"Banyak lagi penerbit yang lebih bagus dan saya sendiri tak rasa akan guna khidmat pemuzik luar negara selepas ini," ujarnya. 

Bercakap lanjut mengenai Mimpi, Krool berkata, lagu itu berkisar tentang luahan jiwa yang terpaksa akur dengan perpisahan dan mengakui ia mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya sebelum ini. 

"Saya tulis lirik dan menggubah melodinya berdasarkan kisah cinta monyet dahulu... hahaha. 

"Tetapi ramai boleh mengaitkan kisah dalam Mimpi dalam kehidupan masing-masing kerana pasti ramai pernah merasai ditinggalkan dan teringat bekas kekasih," ujarnya. 

Sementara itu, Krool berkata, dia berharap Mimpi dapat melonjakkan kembali nama mereka dalam industri muzik tempatan selepas hampir tiga tahun tidak tampil dengan single terbaharu itu.

Persis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain