suria

“Jangan Ganggu Suami Kami” – Tya Adnan, Almy Nadia

Shukri Yahaya bersama isterinya Tya Adnan.

KONTROVERSI yang tercetus apabila pelakon baharu Afifah Nasir dikatakan menganggu rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah turut terkena tempias beberapa isteri pelakon tanah air.

Selepas kenyataan aktres Rozita Che Wan yang berkongsi status 'jangan rembat suami orang' menjadi tular, isteri kepada Shukri Yahaya iaitu Tya Adnan dan pelakon Almy Nadia turut menaikkan status seakan-akan serupa.

Pada petang Ahad, Tya Adnan telah memuat naik foto bersama suaminya di laman Instagram dengan kapsyen seolah-olah satu sindiran buat wanita yang pernah menganggu rumah tangganya.

"Ini laki aku, jangan ada yang yang nak bawa pergi karaoke pula ya," tulisnya.

Manakala dalam satu foto lain, Tya menyampaikan nasihat agar kaum wanita berfikir panjang sebelum memulakan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang.

Foto yang dimuat naik oleh Tya Adnan pada petang Ahad.

Menurutnya, kebanyakkan lelaki yang sudah beristeri tidak berhajat untuk serius dalam hubungan tersebut.

"Perempuan zaman ini dah tahu lelaki jenis ada anak bini lagi mahu menggatal. Lelaki ni biasalah orang kata nakal-nakal macam tu. Memang jenis tidak cukup satu.

"Kalau lelaki tidak boleh fikir, yang perempuan kena fikir jangan jadi bodoh. Benda boleh elak, mereka nak main-main sahaja dengan hampa (anda)," ujarnya.

Pada 9 Jun lalu, Shukri pernah mencetuskan kontroversi apabila seorang wanita mendedahkan mesej digoda oleh pelakon itu.

Bagaimanapun, Shukri tampil menafikan perkara tersebut dan menganggap ia sebagai fitnah semata-mata.

Almy dan suaminya Fizz Fairuz.

Sementara itu, pelakon Almy Nadia turut memuat naik foto suaminya Fizz Fairuz dengan kapsyen memberi amaran kepada wanita lain agar tidak cuba mendekati pelakon filem Munafik itu.

"Ini suami saya, saya tahu suami saya elok (kacak), suami saya sudah ada tiga orang anak dara. Jangan siapa-siapa nak rembat suami kami sebab dia pemurah dan senang tabur duit dan lembut hati walaupun nampak garang," ujarnya.

Status Almy itu mendapat lebih 2,000 tanda suka dan 200 komen pengikut yang setuju dengan pendapatnya. Bagaimanapun, aktres ini memadam status itu selepas beberapa jam atas sebab-sebab tertentu.

Status yang dimuat naik oleh Almy Nadia sebelum dipadamnya selepas beberapa jam.

Sebelum ini, pada Ogos 2015, seorang pelakon baharu mendakwa telah digoda oleh Fizz Fairuz ketika mereka berlakon bersama dalam sebuah drama.

Namun, Fizz menafikan perkara berkenaan dan mengakui tidak mengenali wanita tersebut.

Status-status sindiran ini dikongsi berikutan dunia hiburan dikejutkan apabila penyanyi Aliff Aziz ditahan pihak polis selepas didakwa mencederakan isterinya, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah dalam sebuah kelab karaoke di Taman Shamelin, Cheras pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Bella, 23, bersama ibunya dikatakan mencari Aliff dan mendapati dia bersama seorang pelakon baru iaitu Afifah Nasir di pusat hiburan berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menjadi tular apabila kelihatan individu seperti Aliff Aziz dilihat berpimpin tangan dengan seorang wanita dalam kelab karaoke berkenaan.

Shukri Yahya, Fizz Fairuz, Almy Nadia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain