suria

Syamsul... Ayah Minta Jangan Lupa Diri

Syamsul memperoleh pelabagi kejayaan dalam kerjayanya.

SEBAGAI seorang bapa pasti akan berasa bangga apabila anaknya mendapat satu kejayaan yang besar dalam bidang yang diceburi.

Begitu juga yang dirasai penerbit filem Datuk Yusof Haslam apabila Syamsul Yusof diangkat sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 menerusi filem Munafik di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Yusof, 63, berkata kemenangan tersebut tidak memberikan 'lampu hijau' kepada Syamsul untuk bersikap takbur atau lupa diri.

Malah, ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul Syamsul untuk menghasilkan lagi karya-karya lebih baik dan berkualiti.

Yusof berbangga Syamsul mencapai satu kejayaan yang besar setelah hampir 10 tahun menceburi industri filem. 

"Sebagai seorang ayah, pengarah dan penerbit, sudah pasti saya bangga apabila Syamsul memenangi anugerah Pengarah Terbaik pada FFAP.

"Namun, kemenangan tersebut memberikan dia satu tanggungjawab yang lebih besar dalam setiap karya yang mahu dihasilkan.

"Saya ada berpesan kepadanya jangan lupa diri dan takbur setelah mencapai sesuatu kejayaan kerana ia adalah kelebihan yang Allah berikan," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya lagi, Syamsul juga perlu mengekalkan disiplinnya dan sentiasa belajar perkara baharu kerana perjalanan kariernya masih lagi jauh. 

Syafiq (kiri) dan Syamsul (kanan) meneruskan legasi ayahnya dalam bidang perfileman. 

Dalam pada itu, penerbit drama Gerak Khas ini melihat Syamsul seperti dirinya yang sentiasa mahukan kesempurnaan dalam menghasilkan sesuatu karya. 

"Saya lihat Syamsul sama seperti saya yang sentiasa mahu semua kerja dilakukan dengan sempurna. Kalau ada salah sikit, tetap mahu betulkan sehingga tidak ada cacat cela. 

"Sebab itu apabila dia hasilkan sesebuah filem akan mengambil masa yang lama untuk bahagian suntingan sahaja," ujarnya.

Yusof juga berharap anak-anaknya mampu melebarkan bakat mereka ke peringkat antarabangsa. 

Kejayaan Syamsul dalam festival itu mengulangi pencapaian Allahyarham Yasmin Ahmad yang menerima anugerah serupa menerusi filem Mualaf di FFAP ke 54 yang diadakan di Taipei, Taiwan.

Yusof Haslam, Syamsul Yusof

Artikel Lain