PELAKON Indonesia, Amanda Rawles mengakui dia seorang penakut apabila berkaitan dengan makhluk halus. Namun, pelakon berusia 17 tahun tahun ini menyahut cabaran dan mengunakan ketakutannya sebagai kelebihan untuk menjiwai watak sebagai Bella menerusi filem seram Jailangkung. "Sejujurnya, saya memang seorang penakut. Lagi-lagi jika melibatkan makhluk halus atau alam ghaib. "Ketika ditawarkan untuk membintangi filem bergenre seram iaitu Jalaingkung, saya mulanya tak nak terima tetapi bila fikir balik, ia satu cabaran dalam karier lakonan saya. "Jadi, saya sahut cabaran dan gunakan ketakutan sebagai kelebihan untuk menjiwai watak sebagai Bella," kata Amanda kepada mStar Online. Selain Amanda, filem tersebut juga dibintangi oleh pelakon muda Jefri Nichol. Amanda ditemui ketika malam pra-tonton tayangan filem Jailangkung di MMC, The Curve pada Jumaat. Filem arahan Rizal Mantovani dan Jose Poernomo ini sudah mencecah sebanyak 2.5 juta penonton sejak ditayangkan pada 25 Julai lalu di Indonesia. Manakala di Malaysia akan berada di pawagam bermula 10 Ogos depan. Dalam pada itu, Amanda meluahkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima semenjak filem seram pertamanya itu ditayangkan. "Saya rasa terharu dan gembira dengan sambutan yang cukup menggalakkan. "Biarpun ini kali pertama saya berlakon dalam filem seram tapi ia memberikan satu pengalaman berbeza. "Malah, saya tak sangka di Malaysia ramai yang tak sabar nak tonton filem ini," ujarnya.