SELEPAS seminggu filem Kau Yang Satu lakonan Aaron Aziz dan Izara Aishah berada di seluruh pawagam tanah air, ada pula berita yang tidak sedap didengar. Filem itu telah dicetak rompak oleh individu yang tidak bertanggungjawab menyiarkan secara langsung di laman sosial ketika menonton di pawagam. Pengarahnya, Osman Ali mengakui kecewa dengan perkara berkenaan dan berharap pihak produksi Global Station mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan. "Saya kecewa selepas mendapat tahu hal ini malam Sabtu lalu ada individu yang sudah merakam secara haram dan sebarkan di internet keseluruhan filem berkenaan. "Walaupun, individu itu sudah mengaku bersalah selepas pihak kami beri amaran, namun video tersebut sudah mendapat lebih 200,000 tontonan. Ia sudah pasti menjejaskan kutipan filem ini bagi minggu kedua," ujarnya kepada mStar Online. Status permohonan maaf pemuda yang memuat naik filem berkenaan di Facebook. Osman mengulas tentang tindakan seorang pemuda yang memuat naik rakaman filem penuh Kau Yang Satu. Bagaimanapun, dia membuat permohonan maaf beberapa jam selepas itu dan berjanji untuk memadam video tersebut daripada laman Facebook peribadinya. Dalam pada itu, Osman berpendapat, pemuda tersebut seharusnya diambil tindakan undang-undang agar memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut. "Dia merayu agar tidak diambil tindakan, tapi bagi saya orang macam ni perlu diberi pengajaran kepada orang lain agar mereka tidak melakukan perkara serupa. "Mereka tidak diajar untuk menghargai hasil kerja dan penat lelah orang lain. Sudahlah industri filem kita tenat, ditambah pula masalah sebegini," ujarnya. Osman (tengah) bersama pelakon-pelakon filem Kau Yang Satu. Tambah Osman, dia sudah membawa perkara itu dalam perbincangan Persatuan Penerbit Filem Malaysia agar mengambil langkah terbaik untuk mengatasi perkara begini. "Isu ini bukan perkara baru, tapi sekarang nampaknya mereka berani melakukannya secara terang-terangan tanpa berselindung. Saya takut ia akan menjadi trend pula. "Filem ini baru ditayangkan seminggu dan nampaknya minggu kedua ini sambutan agak menggalakkan. Namun lepas sudah bocor adakah lagi orang mahu ke panggung untuk menontonnya," ujarnya. Filem adaptasi novel ini dibintangi oleh Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci dan mula di pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai lalu.