suria

Zara Zya Enggan Tengok Cermin

Zara mengikut saranan peminat dengan mengunyah gula-gula getah sebagai satu terapi untuk saraf wajahnya.

SELEPAS berjaya menjalani pembedahan ketumbuhan kelenjar di bahagian pipinya awal Julai lalu, terbaru pelakon Zara Zya terbuka berkongsi keadaan dirinya kepada peminat.

Zara, 31, berkata, biarpun masih belum pulih sepenuhnya namun dia yakin berkat doa peminat dan sentiasa berfikiran positif, penyakit tersebut tidak lagi singgah kepadanya.

"Alhamdulillah, dah boleh gelak happy-happy dah. Ada sisa bengkak sikit saja lagi tapi jangan layan sangat. Saya anggap saya seratus-peratus dah sihat.

"Cuma kena rajin gerak-gerakkan muka je memandangkan saraf muka belum pulih sepenuhnya. Dugaan di mana saya belum mampu dapatkan reaksi sebenar," ujarnya.

Zara berkongsi perkara tersebut pada satu keterangan gambar yang dimuatnaik di laman Instagramnya.

Parut pembedahan selepas lebih sebulan Zara menjalani pembedahan ketumbuhan kelenjar di bahagian pipinya.

Gambar yang menunjukkan sebahagian daripada bekas parut selepas pembedahan menerima lebih 500 komen peminat dan rakan-rakan artis yang mendoakan dirinya kembali sembuh seperti sediakala.

Tambah Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, adakalanya dia berasa cemburu melihat kesempurnaan insan lain.

Namun sebagai motivasi diri, dia mengambil langkah untuk terus memujuk diri bahawa masih ada insan yang lebih teruk menerima dugaan berbanding dirinya di luar sana.

"Buat masa sekarang malas nak tengok cermin sangat. Saya reda dan yakin akan pulih. Semoga penyakit ini tidak akan kembali, amin," tulisnya lagi.

Dalam pada itu, kata pelakon Tuan Anas Mikael ini lagi, dia turut mengamalkan beberapa tip yang disarankan peminat antaranya mengunyah gula-gula getah sebagai senaman untuk saraf muka.

Awal Julai lalu, Zara menjalani pembedahan yang memakan masa selama tiga jam bagi membuang ketumbuhan kelenjar di bahagian tepi pipinya.

Ketumbuhan yang dahulunya kecil semakin membesar sebelum dia  mengambil keputusan untuk membuangnya kerana boleh mengakibatkan kanser.

Zara Zya

Artikel Sebelum

Artikel Lain