suria

Saharul Ridzwan Jadi Penyanyi Rap

Saharul akhirnya selesai merakamkan single pertamanya bersama komposer Ajai berjudul Buku Putih.

PELAKON Saharul Ridzwan akhirnya berjaya menyiapkan rakaman single pertamanya berkolaborasi bersama komposer Ajai berjudul Buku Putih.

Saharul, 28, berkata, atas kepercayaan yang diberi Ajai, dia bagai tidak percaya akhirnya mempunyai sebuah lagu sendiri biarpun menyedari dirinya tiada bakat menyanyi.

"Awalnya saja suka-suka. Tak sangka pula abang Ajai memberi peluang ini setelah beliau melihat sendiri lirik yang saya tulis itu ada potensi untuk dikomersilkan.

"Namun, penyertaan saya dalam Buku Putih bukanlah sebagai penyanyi utama memandangkan saya tiada bakat itu sebaliknya hanya memberi fokus kepada bahagian rap sahaja, selebihnya abang Ajai yang nyanyikan," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, dia mengambil masa selama lima jam di studio rakaman untuk menyiapkan lagu terbitan Wake The Baby Records tersebut.

Mengakui masih asing dengan beberapa istilah yang digunapakai di dalam studio rakaman, Saharul menganggap ia sebagai satu pengalaman baharu yang mendedahkan sisi peribadinya sebagai seorang penyanyi.

Kata Saharul, Lagu Buku Putih ditulis untuk seorang sahabat yang sudah dianggapnya seperti adik-beradik.

"Banyak perkara baru saya belajar antaranya tentang tempo dan melodi di mana abang Ajai sendiri sangat profesional dalam bidang kerjanya sebagai seorang komposer.

"Bayangkan saat dia menerima lirik saya, secara spontan dia dapat mecipta melodinya. Sedap pula tu!" kata Saharul sambil mengakui amat mengagumi bakat penyanyi rap Malique dan Joe Flizzow.

Dalam pada itu kata Saharul atau Mohd Saharul Ridzwan Hashim, dia bersyukur kerana percubaan kali pertamanya ini mendapat sokongan padu peminat dan beberapa rakan artis antaranya, pelakon Syafiq Kyle.

Ditanya tentang pengertian di sebalik jalan cerita lagu Buku Putih, kata Saharul lirik tersebut ditulis secara spontan ketika dia sedang memandu.

"Ia berkisarkan tentang diri saya di mana saya cuba menghargai kehadiran seorang sahabat yang sudah dianggap sebagai adik-beradik atau dengan kata lain yang digunapakai hari ini umpama 'brotherhood'," katanya.

"Bila lagu ini akan dilancarkan, saya serahkannya kepada pihak abang Ajai dan soal penerimaan peminat, saya terbuka menerima apa sahaja kritikan," akhirnya.

Sehingga kini kata Saharul, dia mempunyai beberapa lagi lirik yang akan dijadikan karya pada masa depan termasuklah kisah kehadiran anaknya, Muhamamd Luth Ali yang kini berusia dua bulan.

Saharul Ridzwan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain