BAHARU sahaja melancarkan single berjudul Darling, Elizabeth Tan memberitahu dia sebenarnya sudah tidak berminat untuk bergelar seorang penyanyi. Jelas wanita yang mesra disapa Lizzy ini, hatinya semakin pudar terhadap bidang nyanyian kerana apa dilakukan sebelum ini hanyalah ingin mencuba. "Saya sendiri tidak pernah menyangka akan jadi penyanyi kerana sejak kecil saya selalu berangan-angan hendak bergelar pelakon. "Pada awal dahulu saya memang teruja kerana banyak dapat tawaran dan bayaran lumayan tetapi lama kelamaan saya sedar ia bukan minat sebenar saya. "Setiap kali naik ke pentas saya merasakan tiada jiwa dan saya memang tiada karisma seperti penyanyi lain apabila mengadakan persembahan," katanya. Malah kata Lizzy, mentornya, penyanyi dan komposer Faizal Tahir mengetahui mengenai dilemanya itu dan menasihatkannya agar berehat daripada bidang muzik buat seketika. "Saya beritahu kepadanya dan dia faham apa yang saya rasai dan meminta saya berehat dan melakukan perkara lain dalam karier seni. "Syukur Faizal sangat memahami dan banyak memberi dorongan dalam saya mencari diri saya sebagai seorang anak seni," jelasnya. Lizzy mahu tumpu bidang lakonan. Bagaimanapun kata Lizzy, pengakuannya itu bukan bererti dia akan meninggalkan bidang nyanyian serta merta sebaliknya akan terus aktif menghasilkan lirik dan menggubah lagu. "Saya seronok menulis, menggubah lagu dan merakamkan lagu di studio cuma saya tidak suka mengadakan persembahan pentas. "Saya akan terus menyanyi, buat lagu tetapi mungkin tidak seaktif seperti mana di awal kemunculan saya sebelum ini," katanya. Sementara itu, Lizzy berkata, selepas ini dia akan memberikan tumpuan kepada bidang lakonan kerana ia adalah minat sebenarnya dalam bidang seni. Tampil dengan drama bersiri pertamanya iaitu My Darling Inspektor Daniel terbitan Skop Productions, Lizzy berharap ia akan membuka lebih banyak ruang kepadanya untuk mengembangkan karier lakonannya selepas ini. "Pengalaman berlakon dalam drama itu memang menyeronokkan dan banyak yang saya belajar untuk memperbaiki mutu lakonan. "Ada juga beberapa tawaran lakonan lain yang datang tetapi saya masih belum putuskan dan ini permulaan baik untuk saya," katanya.