PELAKON Amyza Aznan meminta individu yang didakwa telah menganggu rumah tangga adik perempuannya tampil bertanggungjawab memberi penjelasan terhadap keluarganya tentang perkara itu. Amyza berkata, adiknya mengenali lelaki menggunakan nama Muhamad Zelmi itu menerusi laman sosial Facebook beberapa bulan lalu dan memutuskan untuk bersama lelaki berkenaan. "Saya geram sangat dengan lelaki itu kerana menjadi punca rumah tangga adik saya hancur. Adik saya itu ada anak kecil dua orang dan sekarang lelaki itu mengawal kehidupan adik saya. "Saya minta dia datang bertemu keluarga kami dan memberi penjelasan secara baik tapi satu identiti dia pun saya tidak jumpa. Malah dia sudah menukar gambar-gambar pada profil Facebooknya supaya tidak dapat dikesan," ujarnya kepada mStar Online. Status yang dimuat naik Amyza pada Ahad. Amyza berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status yang dimuat naik di laman sosial Instagram mencari lelaki terbabit. Selain itu, Amyza berkata, adiknya itu berada dalam keadaan yang kurang sedar dan enggan bekerjasama bila diminta mendedahkan identiti lelaki berkenaan. "Saya minta dia telefon lelaki itu dia tidak mahu, sampaikan air pun dia tidak mahu minum. Malah dia berani melawan saya jika berkaitan dengan lelaki itu. "Kami pun tidak tahu nak buat apa, nak kauseling dia tidak mahu ikut, malah berubat tradisional pun dia seakan-akan tahu," ujarnya. Tambah Amyza, dia bimbang adiknya itu lari mengikut lelaki tersebut yang dipercayai kini menetap di Johor atau Singapura. Dia juga meminta kerjasama netizen yang mengenali lelaki berkenaan agar memberi maklumat kepada dia dan keluarga.