suria

Altimet Nekad Tinggalkan Dunia Seni

Altimet tetap dengan pendiriannya untuk bersara pada usianya 40 tahun.

KOMPOSER dan penyanyi rap, Altimet nekad dengan keputusan untuk bersara pada hari lahirnya yang ke-40 pada 27 November tahun hadapan. 

Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 39, berkata semua impiannya dalam bidang seni hampir tercapai dan tiba masanya untuk dia berubah angin ke bidang yang lain.  

"Alhamdulillah, keputusan ini saya sudah buat sejak mula bergerak solo pada 2007 dan memang nekad untuk menamatkan karier pada tahun hadapan. 

"Hampir semua impian dalam bidang seni sudah tercapai. Saya sudah ada perancangan selepas ini dimana akan lebih fokus pada bisnes. 

"Sekarang ini pun saya menguruskan salah satu cawangan kedai gunting rambut Joe Filzzow dan akan ada beberapa lagi kedai baru yang akan dibuka," kata Altimet kepada mStar Online

Menurut Altimet lagi, dia tidak akan merakam lagu dan tiada persembahan daripadanya selepas menamatkan kariernya dalam bidang seni.  

Altimet bakal mengeluarkan album keempatnya pada hujung tahun ini.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Amboi ini hanya akan mencipta lagu untuk penyanyi lain. 

"Saya tak akan merakamkan album lagi dan tiada persembahan daripada Altimet. 

"Lagu baru yang saya nyanyi memang tidak ada tapi saya tulis lagu untuk orang lain itu mungkin ada," ujarnya. 

Sementara itu, Altimel bakal mengeluarkan single yang berkolaborasi dengan penyanyi rap baru yang akan diberitahu kelak. 

Altimet memberitahu biarpun penyanyi tersebut masih belum dikenali namun dia memiliki mutu suara yang baik.  

"Penyanyi rap baru ini belum dikenali dalam arus perdana. Tapi dia mempunyai kualiti suara yang bagus. 

"Mungkin orang tengok saya hanya kolaborasi dengan selebriti yang ada sahaja. Tapi yang sebenarnya saya bukan tengok dia ada nama ke tak. 

"Saya lihat pada mutu dan kesesuaian suara penyanyi tersebut dengan lagu," katanya.

Altimet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan