suria

Nynaa Tak Takut Berlakon Dengan Suami Orang

Nynaa sebelum ini aktif sebagai model iklan televisyen.

PENDATANG baharu iaitu Nynaa Harizal tidak akan mengelak untuk berlakon dengan pelakon lelaki berstatus suami orang gara-gara kontroversi melanda aktres Afifah Nasir sebelum ini.

Malah kata pelakon berusia 21 tahun ini dia tidak mempunyai sebab untuk berasa takut kerana ia terpulang kepada cara seseorang itu mengatur perjalanan karier seninya agar tidak menjurus ke arah negatif.

"Rasa takut tu tidak... tetapi cukup saya katakan perlu lebih berhati-hati selain berani menyuarakan pandangan pada babak yang bakal dilakonkan agar tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Kerja adalah kerja dan perkara di luar set penggambaran adalah berbeza dan tidak perlu campur-adukkan dengan urusan lakonan dan peribadi," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Nynaa yang sebelum ini pernah muncul menerusi drama bersiri Hero Seorang Cinderella berkata, walaupun masih baharu sebagai pelakon namun dia bersikap memilih watak yang diberikan kepadanya.

Nynaa tidak akan menerima watak di luar kemampuan dirinya.

Bagaimanapun jelasnya, ia bukan kerana dia merasakan dirinya sudah 'besar' dalam industri sebaliknya belum ada keberanian mencabar dirinya melakonkan peranan di luar kemampuannya.

"Saya tidak malu katakan saya masih 'kayu' sebagai pelakon dan sekarang masih dalam proses belajar selain ingin mencari lebih banyak pengalaman.

"Sebab itu juga saya tidak akan terima watak di luar kemampuan saya kerana bimbang akan menghampakan pihak produski dan memberi masalah kepada semua pihak," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nynaa memberitahu filem pertama lakonannya berjudul Mak terbitan MM2 Entertainment bakal menemui penonton pada Februari tahun hadapan.

Ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Mawar Rashid dan Nadia Brian.

Nynaa yang juga penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Perakaunan di Kolej Universiti KDU pernah aktif sebagai model iklan televisyen.

Nynaa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain