PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Hamidun memberitahu isu perkahwinannya yang tidak sah dengan Joy Revfa akan dijelaskan selepas segala urusan berkaitan mahkamah selesai. Hafiz, 33, berkata, buat masa ini dia sedang mengumpulkan beberapa fakta berkaitan perkahwinan tersebut yang akan dijelaskan kepada umum. "Saya tiada ulasan tentang perkahwinan tidak sah, anda akan ketahui tentang perkara itu tidak lama sahaja lagi selepas semua keputusan dan fakta sudah siap. "Bukan saya berdiam diri, cuma saya ingin bercakap berlandaskan fakta bukan emosi semata-mata. Bagi saya sekarang bukan masanya lagi," ujarnya. Hafiz berkata demikian menerusi Instagram secara langsung pada Isnin. Kenyataan itu dibuat selepas isterinya Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, membuat permohonan faraq di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di Subang Bestari di sini Jumaat lalu selepas meragui perkahwinan yang dibina bersama Hafiz pada 1 Mei lalu. Saat indah Hafiz dan Joy Revfa disatukan sebagai suami-isteri pada 1 Mei 2017. Sementara itu, Hafiz berkata, dia turut hadir ke mahkamah pada kira-kira pukul 8.30 pagi Isnin untuk membuat pemfailan permohonan berkenaan, namun gagal selepas isterinya terlebih dahulu melakukan perkara tersebut. Malah, dia terkejut, apabila Joy membuat kenyataan berkenaan terlebih awal. "Sepatutnya hari ini dah selesai semuanya, tapi campur tangan banyak pihak membuatkan ia jadi rumit," ujarnya. Joy Revfa Mohon Perkahwinan Dengan Hafiz Hamidun Bubar Terdahulu, Joy hadir di mahkamah berkenaan pada Isnin untuk melengkapkan beberapa dokumen selepas memfailkannya pada Jumaat lalu. Dia ditemani peguam syarie Aznor Syuhada dan Muhammad Nur Hafiz Roslan. Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 14 September depan untuk mendengar permohonan yang dibuat pihaknya. Turut menemani Joy ialah ibunya, Sofia Abbas, kakaknya iaitu Dyana Sofia dan adik, Mohd Zarif. Permohonan dibuat mengikut Seksyen 61 (3)(b)(1) dan Seksyen 62(1)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz. Mereka bertunang dua bulan sebelum itu, pada 23 Mac 2017. Joy Revfa pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.