suria

Joy Revfa Mohon Perkahwinan Dengan Hafiz Hamidun Bubar

SHAH ALAM: Isu rumah tangga antara penyanyi Hafiz Hamidun dan isterinya Joy Revfa memasuki episod baharu apabila wanita itu memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan.

Permohonan itu dibuat oleh Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di Subang Bestari di sini Jumaat lalu selepas meragui perkahwinan yang dibina bersama Hafiz pada 1 Mei lalu.

Joy berkata, dia terpaksa membuat permohonan itu selepas Hafiz, 33, mula meragui perkahwinan mereka dengan mendakwa ia sebagai tidak sah.

“Saya datang sini untuk berdamai dan bukan untuk bergaduh atau berbalah dengan suami. Apa yang saya lakukan untuk pertahankan hak sebagai isteri dan wanita yang teraniaya.

“Saya nak buktikan perkahwinan kami ini sah, bukan seperti Hafiz katakan. Saya nak tuntut keadialan,” katanya kepada mStar Online.

“Saya Tidak Tertekan” – Isteri Hafiz Hamidun

Dugaan Hafiz Hamidun Selepas 3 Bulan Kahwin

Saat indah Hafiz dan Joy Revfa disatukan sebagai suami-isteri pada 1 Mei 2017.

Joy ditemui di mahkamah berkenaan pada Isnin yang hadir untuk melengkapkan beberapa dokumen selepas memfailkannya pada Jumaat lalu.

Dia ditemani peguam syarie Aznor Syuhada dan Muhammad Nur  Hafiz Roslan.

Turut menemani Joy ialah ibunya, Sofia Abbas, kakaknya iaitu Dyana Sofia dan adik, Mohd Zarif.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 61 (3)(b)(1) dan Seksyen 62(1)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.



Joy mendakwa, Hafiz ada berjumpa dengannya pada 23 Mei 2017 iaitu hampir sebulan berumah tangga dengan memberitahu perkahwinan mereka tidak sah.

“Selepas tarikh itu dia mengabaikan saya dan saya rasa macam teraniaya,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Nur Hafiz berkata, mahkamah menetapkan 14 September depan untuk mendengar permohonan yang dibuat pihaknya.

Katanya, pihak beliau akan mengemukakan beberapa dokumen bagi membuktikan perkahwinan yang dibina itu sah.

Dalam pada itu mStar Online difahamkan, konflik rumah tangga antara Hafiz dan Joy timbul apabila status perceraian wanita itu dengan bekas suaminya sebelum ini tidak jelas sama ada ia sah ataupun tidak.


Disebabkan berasa curiga atas perkara itu, Hafiz tidak dapat melaksanakan tugasnya sebagai suami dan perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah terlebih dahulu sebelum hakim membuat keputusannya.

Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.

Mereka bertunang dua bulan sebelum itu, pada 23 Mac 2017.

Joy Revfa pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.

Hafiz Hamidun, Joy Revfa

Artikel Lain