PENGACARA terkenal Datuk Aznil Nawawi bakal kembali menggalas tanggungjawab sebagai hos program Akademi Fantasia (AF) iaitu AF Megastar yang bakal bersiaran bermula September ini. Mengulas mengenai penglibatannya, Aznil berkata, tanggungjawab itu akan digalas dengan baik dan akan membawa kembali kenangan bersama semua peserta untuk program istimewa itu. "Saya mungkin tidak boleh menyaingi pengacara selepas saya meninggalkan AF tetapi yang pasti menerusi program ini saya akan kembali membawa kenangan bersama semua peserta. "Ia tanggungjawab yang besar dan Insya-Allah saya akan galasnya dengan baik," katanya. Aznil ditemui pada sidang media memperkenalkan 24 peserta AF Megastar yang diadakan pada Selasa. Seramai 24 bekas peserta program Akademi Fantasia bakal berentap bermula 3 September ini. Kemunculan semula Aznil sebagai hos AF disifatkan sebagai sirih pulang ke gagang yang sinonim dengan keluarga program itu. Aznil terdahulu bertindak sebagai hos AF dari musim pertama hingga kelima sebelum meninggalkan program itu dan kembali pada musim kesembilan pada 2011. Sementara itu, seramai lapan bekas juara program AF bakal berentap bagi merebut gelaran juara program itu. Mereka yang bakal bersaing adalah Zahid (AF2), Faizal (AF4), Milla (AF5), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014), Sufie (AF2015) dan Amir (AF2016). Bagaimanapun kesemua mereka bakal berhadapan dengan 16 peserta lain daripada AF1 hingga AF2016 iaitu Rosma (AF1), Anding (AF2), Adam (AF2), Bob (AF2), Amylea (AF3), Idayu (AF3), Marsha (AF3), Nubhan (AF6), Aril (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Indah (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016). Indah Ruhaila dan Azhar. Bersiaran selama lapan minggu, AF Megastar bakal bersiaran secara langsung dari Royal Theater, Shah Alam setiap hari Ahad, 8.30 malam bermula 3 September. Dalam pada itu, AF Megastar bakal menampilkan dua juri profesional iaitu pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan penyanyi yang juga guru vokal, Syafinaz Selamat. Seorang juri jemputan akan diundang pada setiap minggu persembahan. Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, kesemua peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk berentap pada Konsert AF Homecoming. "Semua 24 peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk berentap untuk melayakkam diri ke peringkat seterusnya dan hanya 12 peserta akan dipilih. Syamel. "Bagi konsert prelude markah adalah daripad juri profesional sepenuhnya manakala konsert mingguan 40 peratus undian SMS dan online selebihnya juri," katanya. Tambah Raqim, pemilihan peserta AF Megastar dipilih berdasarkan prestasi terkini dalam pusingan tertutup manakala bekas juara diserap secara automatik. "Bagaimanapun hanya lapan daripada 13 juara yang dapat memberikan komitmen untuk bertanding," ujarnya.