PANDANGAN yang diutarakan pelakon Sharnaaz Ahmad berhubung lambakan golongan lelaki menghasilkan video tutorial solekan di laman sosial nampaknya mengundang kemarahan pengikutnya di Twitter. Kenyataan Sharnaaz yang meminta golongan itu menjadi anak 'jantan' selain mencadangkan agar mereka tampil dengan video bermain judi berbanding tutorial solekan mendapat bantahan. Sharnaaz Ahmad. "Aku buka Facebook, Instagram penuh dengan jantan buat tutorial solekan... ni mak ampa, cubalah jadi jantan h***t... paling kurang pun, live main judi ka!," tulisnya. Ramai beranggapan Sharnaaz tidak sepatutnya membuat perbandingan judi bagi menegur kelompok itu walaupun ia mungkin sekadar gurauan. Meskipun ada bersetuju dengan pandangan itu namun ramai meminta Sharnaaz berhati-hati dalam menyuarakan pendapat selain menyifatkan contoh bermain judi sebagai tidak masuk akal. "Setuju... tapi bab judi itu tukarlah kepada tadarus ke berkebun ke atau gembala kambing. "Judi itu sendiri menunjukkan betapa seorang manusia boleh menjadi sampah! Saya tidak boleh hadam dengan kenyataan anda. "Benda itu (tutorial solekan) bukan menjatuhkan maruah diri... sepuluh kali lagi baik daripada judi," antara kritikan yang ditulis pengikutnya di Twitter. Rata-rata berpendapat seorang lelaki yang menghasilkan video tutorial solekan tidak bererti mereka ingin menjadi wantia sebaliknya hanya berkongsi ilmu.