suria

Dayang Nurfaizah Terima Anugerah Ikon Kepimpinan

Dayang Nurfaizah menerima anugerah The BarandLaureate Grand Master Brand ICON Leadership Award atas pencapaian cemerlangnya dalam industri muzik tempatan.

PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah antara dipilih sebagai pemenang trofi The BarandLaureate Grand Master Brand ICON Leadership Award atas pencapaian cemerlangnya dalam industri muzik tempatan.

Dayang menerima trofi itu pada majlis The BrandLaureate Brand ICON Leadership Awards 2017 yang diadakan di Hotel Majestic dekat sini pada malam Isnin.

Turut menerima anugerah sama adalah penerbit dan komposer, Datuk Wah Idris, pemain biola, Dr. Joanne Yoeh, pemenang acara 100 meter Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, atlet penerjun negara, Cheong Jun Hoong dan pemain boling negara, Shalin Zulkifli.

Ditemui selepas menerima anugerah itu, Dayang menyifatkan ia satu penghargaan atas kejayaan diraih dalam industri muzik tempatan kebelakangan ini.

"Sebagai penggiat seni sudah tentu saya berasa bangga dengan anugerah yang diberikan, bersama dengan ikon dalam bidang-bidang lain.

"Penganjur melihat penggiat seni seperti saya juga mampu menyumbang dalam membina jenama sesuai tema majlis tahun ini Ikon-Signifikan Kehidupan," katanya.

Kata Dayang lagi, dia difahamkan mereka yang menerima anugerah berprestij ini dinilai menerusi inovatif ditampilkan dalam meletakkan kerjaya ke tahap tertinggi dan membina jenama.

"Penganjur menyatakan mereka yang menerima anugerah dalam setiap kategori dianggap ikon kerana memiliki kekuatan dan berani untuk melangkah jauh," katanya.

Majlis itu dianjurkan oleh Asia Pacific Brands Foundation (APBF).

Dayang Nurfaizah

Artikel Lain