suria

Neera, Zeera Azizi Ke Stadium Lagi Malam Ini, Nak Intai Siapa?

Neera (kanan) popular menerusi drama Miss Kapten Cikgu Waiz manakala Zeera pula bekerja sebagai pramugari. Foto Instagram @zeera.azizi.

DEBARAN perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA (KL2017) bukan sahaja dirasai peminat acara bagi merebut ibu segala emas itu, malah golongan artis turut merasai kehangatannya.

Walaupun sibuk dengan komitmen kerja dan lakonan, aktres Neera Azizi, 19, bersama kakaknya Zeera akan turun menyaksikan pertembungan di antara pasukan Malaysia dan Thailand pada malam Selasa.

"Saya dan kakak akan turun menyokong Malaysia pada perlawanan akhir malam ini dan kami sudah bersedia untuk menyaksikan sendiri persembahan hebat pasukan negara. 

"Semasa perlawanan separuh akhir Sabtu lalu, kami tak dapat berkunjung ke stadium kerana komitmen kerja, jadi malam ini baru dapat nak sokong," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, kemunculan gadis berusia 19 tahun ini bersama kakaknya di stadium pada perlawanan kumpulan A di antara Malaysia dan Singapura mencuri tumpuan lensa kamera sehingga tular di laman sosial.

Dua gadis cantik ini pernah mencuri perhatian ketika perlawanan kumpulan A di antara Malaysia dan Singapura.

Neera berkata, sejak gambar serta video tular, jumlah peminatnya di laman sosial turut bertambah dan sedikit sebanyak membantu mempromosikan drama lakonannya iaitu Miss Kapten Cikgu Waiz.

"Sejujurnya memang bertambah pengikut di laman sosial dan ada yang mula kenal saya kerana gambar yang tular di stadium itu.

"Saya anggap itu permulaan yang baik untuk promosi drama lakonan saya dan dapat membantu menaikkan rating untuk drama yang sedang bersiaran di TV3," ujarnya.

Sementara itu, Neera yakin pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee bakal membawa pulang pingat emas buat negara.

Tambahnya, Malaysia diramal menjaringkan tiga gol dalam perlawanan kali ini dan membawa pulang pingat emas untuk sukan tersebut.

"Pertemuan kali ini pasti sengit kerana kedua-dua negara hebat, bagaimanapun kita kena yakin dan percaya dengan kemampuan pemain Malaysia.

"Secara peribadi saya suka dengan rentak aksi Matthew Davies dan Azam Azih," kata pelakon drama Sedingin Cinta Antasya.

Perlawanan akhir Sukan Sea 2017, Malaysia dan Thailand bakal berlangsung di Stadium Shah Alam pada Selasa.

Neera Azizi, Zeera Azizi

Artikel Lain