suria

Erwin Dawson Tak 'Syok Sendiri'

Erwin Dawson ingin bergelar seorang penghibur serba boleh.

PELAKON Singapura, Erwin Dawson masih mencari hala tuju dalam bidang muzik bagi memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi.

Tampil dengan single berjudul Terbaik, Erwin, 28, berkata, dia tidak mahu bersikap syok sendiri dengan mengambil risiko mempertaruhkan karya menjurus kepada citarasa antarabangsa.

"Nak berangan antarabangsa sangat pun tak boleh juga sebab saya harus sedar diri berada dalam pasaran muzik Melayu dan harus ikut apa yang pasaran tempatan mahukan.

"Sekarang pun saya masih bereksperimen bagi mencari arah tuju dan genre muzik sesuai dengan saya kerana sasaran saya bukan sahaja ingin jadi penyanyi tetapi penghibur," katanya kepada mStar Online.

Kata Erwin, dia akan menyertai kelas vokal dalam waktu terdekat ini sebagai persiapan bergelar penyanyi.

Dalam pada itu, Erwin atau Erwin Shah Evan Dawson berkata, dia tidak akan tampil secara solo sebaliknya akan bekerjasama dengan penyanyi rap iaitu A-OK sebagai sebuah duo berkumpulan.

Bagi menampikan kelainan, menerusi Terbaik mereka juga mengundang pelakon Diana Danielle menjayakan lagu tersebut.

"Bila saya suarakan hasrat untuk kolaborasi ini, Diana tiada masalah dan terus bersetuju apatah lagi konsep lagu Terbaik itu sendiri agak santai untuk dinyanyikan.

"Lagu Terbaik kini dalam rangka promosi dan ia adalah kerjasama kami bersama syarikat rakaman Life Records yang bertindak sebagai label promosi," katanya.

Dari kiri Atrez, Diana Danielle dan Erwin kini sedang mempromosikan single terbaru mereka berjudul Terbaik.

Sementara itu kata Erwin, dia bersyukur selama hampir empat tahun berkarya di Malaysia, perjalanan seninya dipermudahkan.

Bermula dengan tawaran filem Warna Cinta Impian bersama pelakon Erra Fazira dan Awie, kata Erwin dia lebih bertuah apabila bakatnya dikesan oleh penerbit drama, Fadzil Teh sehingga diberi watak penting menerusi drama Bencinta lakonan bersama Fathia Latif.

Bencinta yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 menjadi antara drama yang trending sehingga membuka jalan kepada jejaka ini menerima lebih banyak tawaran dari stesen TV lain di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Erwin memberitahu bakal tampil dengan filem Bisik Pada Langit terbitan Astro Shaw yang akan menemui penonton pada 21 September ini.

Erwin Dawson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain