suria

“Saya Minta Tolong Cara Baik” - Mas Khan Jawab Bersikap Diva

Mas Khan menafikan dakwaan dia bersikap 'diva' ketika tayangan promosi filem Abang Long Fadil 2 di sebuah pusat beli-belah pada 21 Ogos lalu.

PELAKON Mas Khan menyangkal dakwaan kononnya dia bersikap besar kepala ketika tayangan promosi filem Abang Long Fadil 2 yang diadakan di sebuah pusat beli-belah pada 21 Ogos lalu.

Mengakui tiba lewat di lokasi majlis itu berlangsung, Mas Khan menjelaskan situasi itu tidak disengajakan malah dia telah memohon maaf kepada pihak produksi mengenai perkara itu.

Malah kata pemilik nama sebenar Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah, 23, ini, dia juga terkejut dituduh bersikap 'diva' apabila meminta pihak produksi menjemputnya di pintu utama tempat acara berlangsung.

Mas Khan kesal dituduh bersikap 'diva'.

"Saya mengaku datang lewat dan ada meminta pihak produksi hantar orang untuk ambil saya di pintu masuk tetapi ia sekadar meminta tolong kerana saya tidak tahu filem itu ditayangkan di panggung mana.

"Saya bukannya bersikap 'diva' seperti didakwa tetapi cuma sekadar meminta tolong dan turut meminta maaf kerana terlewat disebabkan menjaga datuk saya yang sakit," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Menerusi ruang gosip akhbar mingguan pada Ahad, Mas Khan didakwa datang lambat dan meminta pihak produksi menyediakan petugas untuk menjemputnya di pintu utama.

Malah dia didakwa bersikap tidak berbudi bahasa sehingga dianggap besar kepala walaupun masih baharu dalam industri hiburan tempatan.

"Isu saya tidak berbudi bahasa dan bertanya dengan kasar itu adalah fitnah.

"Memang saya hubungi pihak produksi untuk minta tolong tetapi dengan cara yang baik," katanya.

Mas Khan berkata, dia sebenarnya tidak perlu hadir pada cara itu namun kemunculannya kerana ingin memberi sokongan memandangkan dia turut berlakon dalam Abang Long Fadil 2.

"Saya sepatutnya tak perlu pun hadir tetapi saya datang juga kerana ingin terlibat dalam sebahagian promosi filem itu kerana saya juga turut berlakon.

"Selepas ini lebih baik saya tidak perlu hadir. Hendak buat baik pun boleh jadi isu seperti ini," jelasnya.

Mas Khan (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Abang Long Fadil 2.

Sementara itu, Mas Khan berkata, dia tampil menjelaskan situasi sebenar bukan untuk mengeruhkan keadaan sebaliknya ingin membersihkan namanya.

Tambahnya, dia berharap penjelasannya itu dapat merungkai salah faham dan tiada lagi gosip negatif mengenai dirinya.

"Saya mahu menjelaskan situasi sebenar kerana tidak mahu nanti ada yang salah faham apabila membaca ruang gosip itu.

"Harap selepas ini tidak ada gosip negatif mengenai saya kerana saya masih berusaha untuk membina nama sebagai pelakon," katanya.

Mas Khan, Abang Long Fadil 2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain