suria

Pakar Kongsi Rawatan Kehamilan Isteri Fizo Omar

Pakar dedahkan rawatan yang diberi kepada Mawar. Foto Instagram: Fizo Omar

PAKAR Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Hamid Arshat mendedahkan beberapa masalah peranakkan yang dialami isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Mawar punca wanita itu sukar untuk hamil.

Berkongsi tulisan di laman Facebook mengenai proses rawatan terhadap Mawar, Dr. Hamid memberitahu masalah senggugut dialami Mawar secara berterusan sejak zaman remaja juga telah merungkai pelbagai perkara lain yang menyebabkan usahawan tudung itu sukar hamil.

"Apabila saya kaji sejarah kesihatan Mawar, dia mengalami masalah senggugut sejak zaman remaja dan berterusan sehingga mereka berkahwin dan itu adalah satu tanda penyakit dalam peranakkan, khususnya endometriosis kerana kebiasaanya senggugut tanpa penyakit akan lenyap dengan sendiri selepas berkahwin.

"Setelah menjalani pemeriksaan dan imbasan ultra bunyi di dapati Mawar menghidap penyakit endometriosis, dengan ovarian cyst kanan serta rahim bengkak kerana adenomyosis terbalik," tulisnya.

Fizo Omar dan Mawar mendapatkan rawatan dan rundingan daripada Dr. Hamid Arshat.

Perkongsian itu mendapat perhatian apabila ia sudah pun dikongsi sebanyak 5,000 kali selain 2,000 komen yang melontarkan soalan dan pendapat kepada Dr. Hamid.

Dalam pada itu, menurut Dr. Hamid, Fizo dan Mawar bertemu dengannya pada 6 Januari tahun lalu bagi mendapatkan rawatan dan perundingan mengenai kesuburan selepas berkahwin lebih daripada dua tahun namun masih belum mempunyai cahaya mata.

Mengetahui masalah sebenar, pasangan itu bersetuju untuk melakukan pembedahan untuk memperbaiki masalah yang berlaku pada 14 Januari 2016.

"Mereka setuju untuk menjalani pembedahan laparoscopy dan minilap, apa yang mengejutkan endometriosis telah berada peringkat keempat iaitu rahim melekat pada usus dan kedua-dua saluran falopia tersumbat serta terdapat cyst berukuran empat sentimeter di ovari kanan," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Hamid memberitahu sepanjang proses pemulihan, dia telah menghentikan proses haid Mawar selama tiga bulan bagi mempercepatkan proses penyembuhan selepas pembedahan.

Contoh rawatan yang diberikan kepada Mawar.

"Mawar diberikan suntikan lucrin untuk memberhentikan proses haid selama tiga bulan dan kesannya seperti dia menjadi seperti wanita mengalami menopous yang menyebabkan kesan panas badan, gangguan emosi, lenguh sendi dan sebagainya.

"Tempoh ini sangat penting untuk memberi peluang kepada peranakkan menjalani proses baik pulih selain pemakanan berzat dan seimbang," katanya.

Tulis Dr. Hamid lagi, pada 27 Februari lalu, Mawar menjalani pemeriksaan sinaran elektromagnet iaitu X-ray HSG dan keputusan menunjukkan saluran peranakkan yang tersumbat sudah terbuka.

"Saya periksa Mawar setiap tiga bulan dan setahun selepas pembedahan Mawar masih lagi belum hamil, bila saya lakukan imbasan pada rahimnya normal.

"Alhamdulillah, Mawar disahkan hamil pada 16 Mei tahun ini ," tulisnya lagi.

Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 32, berkahwin dengan Mawar Abdul Karim, 28, pada 10 November 2013 dan kini usia kandungan Mawar hampir lima bulan.

Fizo Omar, Mawar

Artikel Lain