KUALA LUMPUR: Penganjuran Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) bakal menyaksikan tidak akan ada sebarang pengumuman awal termasuk lima calon terbaik bagi setiap kategori dipertandingkan. Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, perubahan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kontroversi sekiranya calon diumumkan sebelum festival itu berlangsung. "Tahun ini pihak FFM29 tidak akan mengumumkan calon-calon dalam setiap kategori dipertandingkan dan ia hanya akan diketahui pada malam anugerah itu nanti. "Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kontroversi selain mahu semua penggiat seni hadir pada malam anugerah bagi mengetahui sendiri sama ada karya mereka tercalon dalam 'Top 5' atau pun tidak," katanya. Mohd Khusairi ditemui pada sidang media FFM29 yang diadakan di Panggung Mini P. Ramlee, Finas pada Selasa. Malam kemuncak FFM29 bakal berlangsung pada 23 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. FFM29 bakal berlangsung pada 29 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Bertemakan Transformasi Citra Karya, acara tahunan itu turut disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Dalam pada itu, Mohd Khusairi memaklumkan sehingga kini mereka hanya menerima 42 penyertaan daripada penggiat seni untuk dinilai dan dipertandingkan pada FFM29. "Kami menyasarkan 81 penyertaan namun sehingga kini kami hanya terima 42 penyertaan sahaja. "Daripada jumlah keseluruhan itu ada juga filem yang masih belum ditayangkan di pawagam namun mereka masih layak bertanding," katanya. Atas dasar itu juga kata Mohd Khusairi, pihak jawatankuasa FFM29 melanjutkan tarikh penyertaan sehingga 3 September ini bagi membolehkan penggiat seni menghantar pencalonan. "Selepas tarikh itu barulah kami akan lakukan penilaian dan pihak kami akan adakan sidang media untuk memaklumkan jumlah kategori yang akan dipertandingkan," ujarnya.