JUARA program Lawak Solo iaitu Danial berhasrat bergiat aktif dalam bidang lakonan namun kurang mendapat tawaran daripada produksi kerana ada menyangka dia terikat sebagai penyampai radio. Danial, 24, sebaliknya menjelaskan tiada sebarang halangan daripada tempatnya bekerja jika dia ingin bergiat aktif dalam bidang lain asalkan ia tidak menganggu jadual hariannya di konti. "Sebenarnya tiada masalah pun kalau saya buat kerja lain kerana tugas saya di konti hanya beberapa jam sahaja dan selebihnya saya bebas. Danial mahu berlakon watak antagonis. "Cuma saya perlu bijak menyusun jadual dan meneliti terlebih dahulu tawaran diberikan supaya tidak menggangu jadual kerja di konti," katanya kepada mStar Online. Danial tau Mohamad Danial Mohd Zaini mengendalikan segmen Solo Era di Era FM bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang sejak Februari lalu. Dalam pada itu, Danial berkata, walaupun dia kini selesa dengan tugasnya sebagai penyampai radio namun jauh disudut hatinya dia ingin mencuba pelbagai cabang dalam bidang seni. "Saya mahu jadi seorang penghibur versatil dan bukan sekadar boleh melawak tetapi mampu berlakon, mengacara dan sebagai penyampai radio. "Sebagai anak seni saya tak boleh hanya berpuas hati dengan satu perkara sahaja sebaliknya perlu mencuba pelbagai cabang seni lain," ujarnya. Sementara itu, Danial berkata, sekiranya diberi peluang dia ingin membawakan watak antagonis kerana ia mencabar dan mampu meninggalkan kesan kepada penonton. "Watak antagonis adalah impian saya tetapi sebagai orang baru saya sedia terima apa sahaja watak bagi mengasah bakal lakonan," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Danial bersama 15 selebriti terkenal lain bakal berentap dalam program Super Spontan Superstar 2017 yang akan memulakan siaran pada 8 September ini. Ia bakal menemui penonton di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124), setiap hari Jumaat, 10 malam.