suria

Marah! Filem Johan Muncul Di FB

Johan dan Ozlynn kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan filem televisyen terbitannya berjudul #TerobekRaya

HASRAT Johan (Raja Lawak) mahu melihat filem televisyen pertama syarikatnya dibayar untuk tontonan kecundang apabila ia telah disebarkan di Facebook.

Tindakan itu membolehkan orang ramai menonton filem #TerobekRaya itu secara percuma tanpa perlu membayar RM15.90 di Astro First Eksklusif (480).

Susulan perkara itu, Johan benar-benar marah dah memberi amaran akan mengambil tindakan kepada individu yang secara sengaja menyebarkan filem berkenaan.

Johan berkata, dia juga sudah mengesan beberapa individu dan pemilik laman Facebook yang melakukan perkara serupa.

"Jika masih ada yang berdegil dan memuat naik filem ini di laman sosial, pihak kami dan Astro tidak teragak-agak untuk menghantar surat guaman dan membawa kes ini ke mahkamah.

"Bagi saya inilah cabaran sebagai anak seni, walau bagaimanapun saya tidak akan berputus asa untuk terus menghasilkan filem lain selepas ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Dalam pada itu, isteri Johan yang juga penerbit eksekutif #TerobekRaya, Ozlynn Wati berkata, dia terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang memuat naik FTV itu di Facebook.

Barisan pelakon FTV #TerobekRaya yang ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif.

Kata Ozlynn, dia mengetahui penyebaran filem itu di Facebook selepas diberitahu oleh kru penerbitan syarikat produksinya, JWH Production.

"Sejujurnya, kami sangat terkilan dengan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem #TerobekRaya di Facebook.

"Bukan saya sahaja kecewa malah pelakon dan semua krew terlibat turut melahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku.

"Kami juga telah menghantar mesej amaran selain meminta mereka menurunkan filem itu daripada Facebook mereka," katanya.

Sementara itu, Ozlynn berharap pihak berkuasa dapat memantau dan mengatasi isu cetak rompak secara digital yang sering terjadi dalam kalangan penggiat seni.

"Sebelum ini ada juga beberapa filem yang turut menjadi mangsa mereka yang tidak tahu menghargai karya dan usaha anak seni.

"Besar harapan kami agar pihak berkuasa mampu menangani dan membanteras permasalahan ini agar ia tidak berulang lagi.

"Bayangkan berapa banyak kerugian yang terpaksa kami tanggung jika kes cetak rompak secara digital ini terus berleluasa, sedangkan di sinilah tempat kami mencari rezeki," katanya.

Selain dibintangi oleh Johan dan Ozlynn, #TerobekRaya ini menampilkan Beto Kusyairi, Zizan Nin, Sherry Al Hadad, Marsha Milan, Azhan Rani, Tauke Jambu, Kazar Saisi, Achey Bochey, Riz Amin dan Ani Mayuni.

Johan, Ozlynn

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain