suria

Kahwin Guna Begpaip, Baru ‘Hipster’ – Fizi Ali

Fizi Ali dan Shakilla Khoriri saling memahami antara satu sama lain.

PENYAMPAI radio Suria FM iaitu Fizi Ali memberitahu dalam merancang idea dan konsep persandingannya bersama pelakon Shakilla Khoriri nanti, dia mahukan sedikit kelainan agar tidak dilihat klise daripada kebiasaan.

Kata Fizi, 28, di majlis perkahwinannya itu dia mahu menggunakan khidmat pemuzik 'bagpipe' bagi mengiringi pengantin berarak masuk ke dewan persandingan, bukannya permainan kompang yang sering menjadi kelaziman.

"Bukan mahu menyisihkan adat tetapi sekadar inginkan sedikit kelainan agar ia tidak bersifat klise. Baru hipster kata orang! Apa-apa pun, itu hanyalah perancangan kerana sehingga hari ini kami belum buat apa-apa persiapan pun lagi.

Fizi mahu Shakilla tidak melakonkan aksi bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim setelah bergelar isterinya nanti.

"InsyaAllah kalau tidak ada aral melintang, kami akan awalkan sedikit majlis ni dari perancangan asalnya sebab saya tak mahu tangguh lama-lama, bahaya hehe..." katanya kepada mStar Online.

Fizi dan Shakilla bertunang pada 16 Julai lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di Villa Terlajak Laris, Sungai Buloh.

Mengikut perancangan asal, pasangan ini merancang untuk berkahwin enam bulan dari tempoh pertunangan.

Dalam pada itu, kata Fizi dalam keterujaan bakal bergelar seorang suami, dia turut berasa risau kerana perlu menjaga hati banyak pihak berbanding kehidupan yang dilaluinya ketika bujang.

Fizi dan Shakilla rancang awalkan tarikh pernikahan mereka dari perancangan asal iaitu pada hujung tahun.

"Saya paling takut kalau tanpa sengaja kecilkan hati orang dan selepas kahwin sudah pasti banyak hati perlu saya jaga terutama di pihak keluarga bakal mertua

"Perkara ini menjadi satu kerisauan juga bila ditanya tentang persiapan bergelar suami," katanya.

Pun begitu, kata penyampai segmen Suria Pagi ini lagi, apabila memikirkan bakal bergelar seorang suami secara tidak langsung pasti akan terlintas untuk mempunyai anak sendiri dan di situlah keterujaannya.

"Selalu saya bermain dengan anak buah. Jadi nak juga tahu macam mana rupa anak kami nanti setelah dicampur wajah saya dan Killa (ketawa).

Bagpaip adalah alat muzik yang popular di Scotland. 

"Kalau boleh saya nak anak ramai. Dapat anak kembar lagi bagus!" ujarnya.

Tambah Fizi lagi, dia akan meletakkan beberapa syarat kepada Killa setelah bergelar isterinya nanti dan antara syarat itu, dia tidak mahu bakal isterinya itu melakonkan watak yang memerlukan dia bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim.

"Ia sebagai langkah mengelak fitnah dan buruk sangka orang. Boleh berlakon macam biasa tapi elak pegang-pegang, itu sahaja," ujarnya.

Fizi Ali, Shakilla Khoriri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain