PELAKON Zul Ariffin memberitahu bukan mudah untuk dirinya tampil separuh bogel dalam filem lakonan terbaharunya berjudul Tombiruo: Penunggu Rimba yang akan menemui penonton di pawagam bermula 12 Oktober depan. Ini kerana kata Zul, dia perlu menzahirkan bahasa tubuh dalam menggerakkan watak sebagai Ejim memandangkan dia turut memakai topeng selain tidak mempunyai banyak dialog. "Bukan mudah sebenarnya hendak 'jual' badan dalam menghidupkan watak Ejim tambahan pula saya tak dapat menunjukkan reaksi wajah kerana memakai topeng. "Ia satu cabaran besar buat saya sebagai pelakon dan ia melangkaui daripada hanya mahu menayang badan semata-mata. "Tetapi saya puas kerana ia satu perkara baharu yang dapat saya lakukan sebagai pelakon," katanya. Zul Ariffin Sangkal Dieksploitasi Gara-Gara Dedah Tubuh Dalam 'Tombiruo' Zul memberitahu bukan mudah untuk berlakon tanpa berbaju memandangkan wajahnya juga dipakaikan topeng. Zul ditemui pada majlis pelancaran filem itu yang diadakan di Publika, Kuala Lumpur pada Selasa. Tombiruo: Penunggu Rimba sebuah karya arahan Seth Larney turut membariskan pelakon seperti Datuk M.Nasir, Faizal Hussien, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat dan Dynaz Mokhtar. Bercakap lanjut mengenai filem itu, Zul memberitahu dia mengalami kecederaan slipped disc ketika cuba melakukan aksi ngeri sehingga menyebabkan dia terpaksa berehat selama dua minggu. Kata Zul lagi, akibat kejadian itu juga dia terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan aksi berbahaya dan terpaksa menggunakan bantuan pelakon aksi ngeri. Zul bergandingan dengan Farid Kamil dalam Tombiruo: Penunggu Rimba. "Watak saya banyak melibatkan babak pertarungan tetapi mungkin kerana terlalu teruja saya cedera. "Ralat juga kerana seboleh-bolehnya saya ingin lakukan sendiri aksi lagak ngeri tetapi atas nasihat doktor saya terpaksa melupakan hasrat itu. "Akibat kejadian itu juga saya terpaksa berehat selama lapan bulan dan melakukan fisioterapi bagi memastikan kecederaan itu benar-benar pulih," katanya. Bagiamanapun kata Zul, dia menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran pada masa hadapan agar lebih berhati-hati dan membuat persedian awal sebelum melakukan sebarang aksi berbahaya. Dalam perkembangan lain, Zul berkata dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Titian Cinta bersama aktres Farah Nabila yang akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.