PELAKON dan penyanyi Azza (Elite) antara jutaan rakyat Malaysia yang turut berduka atas kemangkatan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah kerana dia mempunyai kenangan peribadi bersama baginda. Azza, 39, berkata, dia berasa amat sedih dan terharu atas kemangkatan itu lebih-lebih lagi dia pernah bertemu dengan Almarhum tidak lama dahulu. "Saya masih ingat saat-saat indah pertemuan saya dengan baginda di Istana Anak Bukit di Kedah, tak lama dulu. "Ketika itu saya sedang menjalani penggambaran telefilem Cinta Anak Kedah di istana persinggahan baginda dan secara kebetulan individu yang menguruskan lokasi kami ialah anak angkat Tuanku. Azza mengagumi sikap merendah diri Almarhum Tuanku. "Apabila saya dipelawa menziarahi Tuanku di istana, sudah pasti saya tidak menolak dan bermula daripada situlah saya mula mengenali peribadi sebenar baginda," katanya kepada mStar Online. Azza memberitahu kunjungannya ke istana bersama seorang kru penerbitan disambut mesra oleh baginda. Mengakui agak malu bertentang mata buat kali pertama, Azza berkata dia dapat melihat sisi sebenar baginda yang sangat menghormati tetamu. "Kami bertemu di istana dalam 15 minit sahaja kerana ketika itu waktu dan hampir Maghrib dan Tuanku juga mempunyai urusan lain. "Kami sempat berborak mengenai perjalanan penggambaran telefilem tersebut dan Tuanku ada bertanyakan kepada saya mengenai negeri Kedah. "Walaupun pertemuan singkat, Almarhum Tuanku seorang sultan yang sangat merendah diri, lembut tutur katanya dan menghormati tetamu," ujarnya. Sementara itu, Azza berkata Tuanku juga membenarkan dia untuk melawat ke kawasan istana yang selama ini tidak pernah difikirkan oleh Azza. Baginya, bukan mudah untuk memasuki kawasan berkenaan melainkan atas urusan rasmi atau mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak istana. Malah ujar Azza dia berpeluang untuk melihat haiwan kesayangan baginda di istana dan secara tidak langsung dapat mengenali peribadi baginda. Azza tidak mampu melupakan kenangan bertentang mata dengan Tuanku Sultan Kedah. "Saya dapat lihat sendiri burung kesayangan baginda iaitu burung cenderawasih yang ada di istana. Burung itu cukup istimewa kerana bukan semua orang dapat melihat ia yang hidup tetapi saya dapat berbuat demikian dengan perkenan Tuanku. "Apa yang boleh saya kata, baginda juga memiliki sifat penyayang terhadap haiwan," katanya. Dalam pada itu, Azza atau nama sebenar Nor Azzarima Zawari turut merafak sembah takziah kepada kerabat DiRaja negeri Kedah dan seluruh rakyat yang berduka dengan kemangkatan baginda. "Bayangkan saya yang dapat bertemu walaupun seketika turut berasa hiba dengan kehilangan baginda, apatah lagi rakyat jelata di negeri Kedah. "Moga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujarnya. Almarhum memerintah negeri Kedah selama 59 tahun dan mangkat pada usia 89 tahun. Baginda diputerakan pada 28 November 1927 dan mewarisi takhta pemerintahan negeri Kedah pada 14 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.