suria

Kenapa Yatt 'Sorok' Hamil Anak Ketiga?

Yatt kini hamil tiga bulan.

PETALING JAYA: Pelakon Yatt Hamzah berkongsi berita gembira bahawa dia kini sedang hamil anak ketiga. 

Yatt, 37, berkata, dia mengambil masa untuk memberitahu berita gembira itu kepada umum berikutan usia anak keduanya itu baharu memasuki lapan bulan.

"Alhamdulillah, baru tiga bulan, saya dapat tahu masa kandungan dua bulan tapi saya diam sahaja dan tidak mahu beritahu siapa-siapa kerana masih terlalu awal.

"Lagi pula anak kecil saya Iqlima ketika itu berusia tujuh bulan, saya kasihan pada dia jika semua orang akan beri perhatian kepada kandungan saya. Jadi bulan ini dia sudah lapan bulan, sudah besar sikit untuk saya kongsi berita ini kepada umum," ujarnya kepada mStar Online.


Yatt bersama suami dan anak-anaknya.

Pemilik nama sebenar Haryati Hamzah ini berkahwin dengan juruvideo Mohammad Zulfadhli Khairuddin pada 27 Februari 2016 dan dikurniakan cahaya mata Suci Humaira Iqlima pada 27 Disember tahun lalu.

Dia juga mempunyai seorang anak perempuan iaitu Suci Hanania Malika, 7, hasil perkahwinan terdahulu dengan Abdul Mutalib Shukor.

Sementara itu, Yatt berkata dia tidak mengalami sebarang alahan dan mengidam seperti kebiasaan wanita mengandung, sebaliknya mengakui sering berasa lapar.

"Semua berjalan lancar dan saya tidak mengalami sebarang alahan atau mengidam makanan yang pelik-pelik. Cuma saya kuat makan sahaja mungkin juga kerana saya masih menyusukan anak kecil saya," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang harapan terhadap bayi tersebut sama ada lelaki atau perempuan, Yatt berkata, dia berserah kepada rezeki yang diberikan.

Bagaimanapun, kata Yatt, suaminya berharap agar mendapat cahaya mata lelaki.

"Saya tidak kisah asalkan cukup sifat dan sihat. Suami pula berharap kali ini kami dapat anak lelaki," ujarnya.

Yatt Hamzah

Artikel Sebelum

Artikel Lain