PENGACARA Nazrudin Habibur Rahman atau Naz memohon maaf andai ada perkataan yang diluahkan di laman Twitter miliknya mengenai isu mati syahid menimbulkan perasaan kurang senang netizen. Menurut Naz, 39, apa yang diluahkannya itu bukan untuk mempertikaikan kenyataan 'mati syahid' tersebut. Sebaliknya, dia mahu pihak yang menguruskan pusat pendidikan mengutamakan keselamatan pelajar dan tidak terlalu mudah memberi alasan bagi menutup sesuatu kejadian. "Ini bukan kali pertama berlaku, sudah banyak kes kebakaran asrama yang membabitkan kematian kanak-kanak. "Saya bukan menafikan tentang hal mati syahid tetapi saya mempertikaikan tentang keselamatan yang sepatutnya dititikberatkan. Luahan hatinya di laman Twitter mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada pengguna laman tersebut. "Sampai bila kita mahu menerima alasan yang sama apabila ia membabitkan kematian," katanya ketika dihubungi mStar Online. Menerusi akaun Twitter @nazrudinrahman, dia ada menulis 'Mati syahid? What a bangsat cop out answer. Tell me something I don't know'. Postingnya itu mendapat hampir 6,000 retweet dan ratusan komen daripada pengikut. Ia memetik laporan sebuah portal berita tempatan yang melaporkan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah Muhammad Zahid Mahmod menganggap 21 orang pelajar dan dua warden mereka mati syahid dalam kebakaran asrama di Kuala Lumpur pada 14 September lalu. Dalam pada itu, Naz berharap kenyataannya itu mampu membuka mata ramai pihak terutama pihak berkuasa mengenai keselamatan pusat pendidikan. "Niat saya untuk membuka mata pihak berwajib mengenai kepentingan keselamatan. "Tidak kiralah pusat pendidikan apa sekalipun, soal keselamatan harus menjadi keutamaan dan bayangkan jika berlaku kecemasan, mereka ini tidak dapat menyelamatkan diri. Kejadian kebakaran di pusat tahfiz yang meragut nyawa 23 orang ini membuka mata ramai pihak mengenai aspek keselamatan. "Dalam kejadian baru-baru ini, saya yakin pengetua tersebut akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku," katanya. Sementara itu, Naz berkata apa yang dikongsi itu secara tidak langsung turut menyedarkan masyarakat mengenai isu keselamatan. Malah pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan ini tidak berkecil hati dengan komen netizen yang menghentam kenyataannya itu. "Mungkin mereka yang baca tweet tersebut tidak faham maksud saya kerana tidak membaca catatan yang berikutnya. "Tidak apa lah, sekurang-kurangnya ada yang menyokong dan memahami apa mesej yang ingin saya sampaikan dalam tulisan tersebut," katanya yang aktif dengan badan kebajikan sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam kejadian 14 September lalu, seramai 23 orang maut selepas pusat tahfiz berkenaan terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.