PETALING JAYA: Pertubuhan Warisan Anak Jawi (Pewaja) akan mengadakan sebuah konsert bagi membantu penggiat seni yang berada dalam kesusahan terutamanya penghidap penyakit kronik sehingga tidak mampu menyara keluarga. Pengerusi Pewaja, Amirrudin Nordin berkata, Konsert Mini Kebun Cinta Edisi Khas itu dianjurkan bagi menyahut seruan dramatis Fauziah Nawi dalam usaha mengumpul dana #MisiKemanusiaanKaryawanSeni untuk penggiat seni memerlukan bantuan. "Ada pekerja industri seni yang sedang menderita sakit kronik dan tidak mampu bekerja untuk menyara keluarga. Jadi, kami anjurkan konsert ini untuk membantu mereka. "Konsert ini juga kita wujudkan bagi menghimpun dan menyatukan penggiat serta peminat kesenian dalam usaha menyampaikan dakwah ketuhanan dan kemanusiaan sejagat," ujarnya menerusi kenyataan kepada mStar Online pada Ahad. Antara aktiviti yang bakal berlangsung. Konsert Mini Kebun Cinta Edisi Khas akan diadakan pada Sabtu, 23 September ini di Dewan Dewan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dekat sini bermula 8.30 malam. Konsert anjuran Biro Kesenian dan Kebudayaan Pewaja itu akan menampilkan persembahan istimewa oleh Wanji Asmandi dan Adinda Amiro. Dalam pada itu, Amirrudin berkata, acara berkenaan akan dimulakan dengan Klinik Kemahiran Seni dan Kesenian pada sebelah pagi. "Dua kelas kendalian Adinda Amiro dan Wanji Asmandi akan diadakan secara serentak iaitu 'Menjadi Komposer Dalam Masa Sehari' dan 'Tancak Budi Sejati' bermula 11 pagi hingga empat petang," ujarnya. Tambahnya lagi, kelas 'Menjadi Komposer Dalam Masa Sehari' bakal memberi pendedahan kepada peserta cara-cara untuk menyusun atur bunyi yang ada di sekeliling mereka. Tiket untuk menyaksikan konsert hanya dijual pada harga RM35. Manakala kelas kedua iaitu 'Tancak Budi Sejati' pula menyaksikan perkongsian mengenai praktik meditasi Adab dan Aurad Melayu dalam membangkitkan daya dalam diri. Klinik Kemahiran Seni dan Kesenian boleh disertai dengan yuran pendaftaran berjumlah RM110 manakala bagi yang berminat untuk menonton konsert dikenakan bayaran sumbangan serendah RM35 sahaja. Pakej bagi kedua-dua acara pula ditawarkan pada harga RM130. Untuk tempahan dan keterangan lanjut, anda boleh menghubungi Peng (014-9968412) atau Mohammad (017-8116759).