suria

Adira, Azhar Tak Penuhi Piawaian - Syafinaz

Adira dan Azhar akur mereka tidak layak ke peringkat seterusnya. Foto IBRAHIM MOHTAR

SHAH ALAM: Dua penyanyi iaitu Azhar dan Adira bernasib tidak baik apabila kedua-dua mereka terkeluar  daripada program AF Megastar yang diadakan di Royal Theater di sini malam Ahad.

Penyingkiran berkenaan menjadikan mereka dua peserta pertama meninggalkan pertandingan itu yang baharu sahaja memasuki minggu pertama.

Adira yang menyanyikan lagu Ikut Rentakku mendapat 29.3 peratus markah manakala Azhar dengan Dalam Gerimis hanya meraih 17.1 peratus yang menyebabkan mereka berada di kedudukkan kedua terendah.

Syamel muncul sebagai pemenang mingguan konsert minggu pertama AF Megastar.

Persembahan mereka juga mendapat ulasan kurang memuaskan daripada barisan juri yang mewakili 60 peratus markah secara keseluruhan.

40 peratus markah lagi dilakukan secara undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh penonton.

Tiga juri yang terlibat memberi komen ialah Datuk Ramli MS, Syafinaz Selamat dan Datuk Norman Abdul Halim.

Idayu membuktikan dia juga mampu menyampaikan lagu tradisional dengan baik.

Dalam pada itu, Syamel yang mendapat markah paling tinggi iaitu 58.6 peratus muncul sebagai juara mingguan.

Kesemua peserta menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan oleh bekas peserta Akademi Fantasia.

Sementara itu, Syafinaz ketika ditemui berkata, penilaian terendah itu berdasarkan persembahan mereka yang nyata tidak mencapai piawaian AF Megastar.

Anak Adira iaitu Anggerik turut membuat kemunculan sejurus selepas persembahannya.

"Barisan juri membuat penilaian berdsarkan apa yang mereka persembahkan kepada kita.

"Adira dan Azhar adalah penyanyi yang baik dan itu tidak boleh dinafikan cuma kegagalan mereka memberikan persembahan bertenaga pada malam ini menyebabkan mereka tersingkir," katanya.

Tambah Syafinaz, secara keseluruhannya ramai peserta menunjukkan prestasi memberangsangkan dan mencapai standard yang dicari oleh juri.

Persembahan Marsha mendapat pujian juri dan peminat.

Malah katanya, selain Idayu, Bob dan Syamel, Marsha memberikan kejutan apabila tampil berbeza dengan menyuntik elemen dramatik dalam persembahannya.

"Marsha adalah contoh terbaik kerana saya pada awalnya bimbang apabila dia mendendangkan lagu Asmara tetapi sangkaan saya meleset apabila dia menampilkan kelainan dalam persembahannya.

"Pada tahap ini kita semua tahu semua peserta boleh menyanyi dengan baik tetapi apakah kelainan yang mampu dilakukan untuk menarik perhatian juri dan penonton," katanya.

Shahir menyampaikan lagu berjudul Seroja.

10 peserta yang mara ke minggu seterusnya adalah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Ewal, Sufi Rashid, Syamel dan Amir.

AF Megastar disiarkan menerusi Astro Ria dan Ria HD pada pukul 9 malam.

AF Megastar, Azhar, Adira, Syafinaz

Artikel Lain