PELAKON Raja Ilya menyangkal dakwaan kononnya dia menjalani pembedahan pada bahagian perut bagi mendapatkan bentuk tubuh lebih menarik sebagai persediaan membintangi filem Hollywood pada Januari tahun hadapan. Sebaliknya kata Ilya, dia melakukan pembedahan itu kerana sudah dua tahun dia menderita gara-gara terdapat ketumbuhan pada bahagian perutnya yang boleh mengakibatkan masalah serius lain. "Saya buat pembedahan buang ketumbuhan itu bukan untuk cantik tetapi demi kesihatan kerana sudah dua tahun saya hadapi penyakit itu. "Pembedahan itu juga sebenarnya saya lakukan kerana mahu memastikan kesihatan saya dalam keadaan baik bagi menjalani penggambaran filem itu di Los Angeles pada Januari tahun depan. "Alhamdulillah pembedahan itu berjalan lancar malah saya tidak sampai seminggu keluar dari hospital," jelasnya. Raja Ilya bergandingan dengan Josiah Hogan dalam filem LuQman. Sebelum ini nama Ilya panas apabila dia dikatakan sanggup melakukan pembedahan plastik demi menjayakan watak dalam filem terbitan Marvel Studios itu. Bagaimanapun Ilya menafikan perkara itu sebaliknya menjelaskan dia hanya mahu melakukan pembedahan dikenali EMS (Electric Muscle Stimulation) bagi menghasilkan otot tubuh. Sementara itu, Ilya berkata, buat masa ini dia sedang giat mempersiapkan diri bagi menjayakan wataknya termasuk mengamalkan diet dan senaman bagi memastikan penampilan fizikalnya nampak sempurna. Katanya lagi, dia tidak boleh mengambil perkara itu sambil lewa dan ingin menunjukkan bahawa dia serius dalam membina namanya di peringat antarabangsa. "Walaupun penggambaran masih belum bermula tetapi saya perlu buat persediaan rapi kerana ini adalah peluang terbesar saya untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa. "Memang sekarang saya dalam proses diet yang ketat sejak dua bulan lalu selain menjalani rutin seniman agar saya mempunyai stamina tinggi ketika penggambaran," ujarnya. Selain Raja Ilya dan Josiah Hogan, LuQman turut dibintangi oleh Wan Hanafi Su. Dalam pada itu, Ilya berkata, sehingga kini dia tidak dapat mendedahkan projek yang bakal dijayakannya namun memberitahu sudah menerima skrip filem itu. Malah katanya, dia tidak kisah apabila ada pihak menganggap dia berbohong mengenai tawaran tersebut gara-gara enggan mendedahkan judul filem terbitan Marvel Studios itu. "Tunggu sahajalah sama ada saya berbohong atau pun tidak. Terpulang apa orang hendak kata mungkin kerana saya tidak popular dan tidak percaya bagaimana pelakon seperti saya boleh dapat tawaran itu. "Saya sudah mengikat perjanjian dengan penerbit untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai filem itu malah saya sendiri tidak tahu saya akan berlakon dengan siapa," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Ilya bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul LuQman arahan Mahadi J. Murat dan menggandingkannya dengan Wan Hanafi Su dan Josiah Hogan. Ia bakal menemui penonton bermula 28 September ini.