suria

“Perit! Tak Akan Buat Lagi” - Shaheizy Sam

Sam bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Pinjamkan Hatiku pada November depan. Foto ROHAIZAT DARUS

TAHUN lalu pelakon Shaheizy Sam pernah mengejutkan peminat apabila memuat naik gambarnya yang memperlihatkan berat badannya susut secara drastik sehingga ada menyangka dia sedang sakit demi menjayakan watak dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Shaheizy berkata, ia adalah pengalaman paling perit pernah dilaluinya sebagai pelakon kerana bukan sahaja perlu mengikut diet dan senaman ketat tetapi lebih menyedihkan apabila ada menyangka dia kurus kerana mengambil barang terlarang.

"Jujurnya ia sangat memeritkan untuk menurunkan berat badan dan mengamalkan diet ketat dan rasanya saya tidak akan buat perkara sama lagi.

"Ada menyangka saya sakit tetapi lebih menyakitkan apabila orang kata saya ambil dadah!

"Tetapi saya bersyukur kerana berjaya mencabar diri menurunkan berat badan sebanyak lapan kilogram dalam masa singkat tetapi ia memang cukup memberi kesan kepada saya," katanya.

Sam berjaya turunkan berat badan sebanyak 8 kilogram dalam masa singkat.

Pinjamkan Hatiku adalah sebuah filem arahan Osman Ali yang turut mengandingkan Sam dengan Ayda Jebat dan Farid Kamil.

Ia bakal menemui penonton di pawagam pada 30 November depan.

Dalam pada itu, Sam berkata, dia menerima cabaran melakonkan watak sebagai Naufal kerana ingin membuktikan pelakon tempatan juga mampu menunjukkan kesungguhan tinggi dalam menjayakan sesuatu watak diberikan.

Bagaimanapun kata Sam, dia tidak merasakan akan melakukan perkara sama jika diberi peluang lain pada masa hadapan kerana ia memerlukan persiapan rapi dan jangka waktu lebih panjang.

"Saya sebenarnya tidak mahu pihak luar perlekehkan pelakon kita dan sebab itu saya buktikan diri bahawa kita juga mampu mengubah fizikal bagi menjayakan sesuatu watak.

"Saya tak mahu buat lagi bukan kerana mental tak kuat tetapi ia sebenarnya memerlukan persiapan awal dan mengambil masa.

Sam bergandingan dengan Ayda Jebat dalam Pinjamkan Hatiku.

"Jika saya diberi peluang lagi biarlah ia setimpal dengan semua usaha, tenaga yang saya curahkan bagi menjayakan sesuatu watak itu," jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai Pinjamkan Hatiku, Sam berkata, dia yakin filem itu dapat menghidupkan kembali genre romantik dalam menarik penonton ke pawagam.

Selain jalan cerita yang menarik, Osman berjaya menggarap plot penceritaan dengan baik selain turut memuji lakonan Ayda yang disifarkan penuh emosi tetapi bersahaja.

"Saya terima berlakon filem ini kerana rasanya sudah lama tak muncul dalam filem genre romantik tambahan pula ia adalah hasil arahan Osman Ali.

"Pinjamkan Hatiku mampu menghidupkan kembali minat penonton untuk kembali ke pawagam menonton filem berbentuk cinta dan romantik," katanya.

Artikel Sebelum

Wak Doyok Lelaki Miang

Artikel Lain