PETALING JAYA: Isteri pelawak Shahrol (Shiro) iaitu Nor Farhanah Syamimi menjelaskan kenyataan dan luahan marah yang dimuat naik di laman sosial Instagram pada Rabu bukan ditujukan kepada suami. Sebaliknya, Nor Farhana atau lebih dikenali sebagai Anna Danisha, 27, berkata, status itu ditujukan khas kepada rakan-rakan perempuannya. "Tak ada apalah, kenyataan itu kepada rakan-rakan perempuan saya sahaja. Kami baik-baik sahaja, tak ada gaduh pun laki bini," ujarnya kepada mStar Online. Dia mengulas beberapa status laman sosial miliknya pada malam Rabu yang menjadi tanda tanya netizen tentang keadaan rumah tangga selebriti berkenaan. Sementara itu, Shahrol pula menyifatkan komen isterinya di salah satu foto laman sosial Instagramnya yang mendakawa dia digilai ramai perempuan hanyalah gurauan semata-mata. Katanya, hubungan dia dan isteri yang juga pengurusnya itu berada dalam keadaan baik. "Mana ada dia marah, dia ada kat sebelah saya ni. Apa yang dia tulis di laman sosial tu melawak sahaja tiada kaitan pun dengan hal rumah tangga," ujarnya. Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 32, dan Nor Farhanan disatukan sebagai suami isteri pada 18 Mac 2016 di Kluang, Johor. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 10 Februari lalu. Sebelum ini, Shahrol pernah berkahwin pada tahun 2008 dan dikurniakan seorang anak, Muhd Adam Danish yang kini berusia lapan tahun. Shahrol kini bertugas sebagai penyampai radio Suria FM.