PETALING JAYA: Pengarah Erma Fatima berjaya memujuk usahawan Malaysia yang sudah melakar nama di Amerika Syarikat iaitu Joyah Vegas untuk berlakon dalam telefilem Mak Cun. Erma atau Fatimah Rahmad, 49, berkata telefilem bertajuk Mak Cun Vs Joyah Vegas akan memulakan penggambaran pada Disember depan di Las Vegas dan Los Angeles. Menurut Erma, dia bertemu Joyah di Las Vegas selepas selesai menyertai Couture Fashion Week New York pada awal September lalu. "Alhamdulillah saya berjaya memujuk usahawan berjaya yang kini berada di Amerika Syarikat iaitu Joyah Vegas untuk membintangi telemovie terbaru, Mak Cun Vs Joyah Vegas. "Saya memang rancang jumpa Joyah di Las Vegas selepas saya selesai pertunjukan fesyen di New York untuk berbincang tentang drama mengenai kisah hidupnya yang saya akan terbitkan. Joyah Vegas. "Tapi saya tertarik dengan pewatakan Joyah yang ceria membuatkan saya dapat idea untuk membuat telemovie ni," kata Erma kepada mStar Online. Erma ditemui pada sesi perkongsian Mak Cun ke Couture Fashion Show New York di Sri Pentas pada Khamis. Joyah atau nama sebenarnya Pon Jumat ialah wanita berasal dari Malaysia yang berjaya melakar kerjayaan di Las Vegas. Dia mempunyai 10 aparment di Bandar itu. Pengenai pertunjukan fesyen Erma berkata, pada 8 September lalu, dia bersama Datin Umie Aida serta pereka fesyen Ashraff Zainal dan empat orang kru membawa 12 busana rekaannya ke pertunjukan fesyen di New York. Penglibatannya ke sana menerusi program Malaysia Fashion & Business Mission to New York dengan bantuan Peniagawati.