suria

Ifa Raziah Mahu Lepas Jawatan

Ifa Raziah tidak berhasrat meneruskan jawatannya dalam Persatuan Bintang Dangdut Malaysia. Foto S.S.KANESAN

PENYANYI dangdut Ifa Raziah enggan mempertahankan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia atau Bintang pada penggal akan datang. 

Ifa, 43, berkata, dia mahu memberi peluang kepada artis dangdut lain untuk memikul tanggungjawab tersebut. 

"Saya sudah memikul tanggungjawab sebagai presiden untuk penggal ini dan pada pemilihan tahun depan saya mahu orang lain pula yang dapat.

 

"Kalau boleh biarlah semua dapat rasa dan terajui persatuan ini sehingga ke tahap yang tinggi," ujarnya kepada mStar Online. 

Ifa ditemui pada sidang media Konsert Dangdut Megastar 2017 yang diadakan di Biro Pelancongan Kuala Kumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, Selasa. 

Dalam pada itu, Ifa berkata, konsert yang bakal berlangsung pada 14 Oktober ini di Panggung Anniversari ini adalah pencapaian tertinggi untuk artis-artis dangdut negara ini. 

Katanya, konsert berkenaan adalah usaha dan kerja kerasnya bersama ahli persatuan yang dilakukan selepas lebih setahun menerajui persatuan itu.

Inilah sebahagian artis yang akan terlibat dalam Konsert Dangdut Megastar 2017 pada 14 Oktober ini. 

"Alhamdulillah, selepas beberapa kali surat dan kerja keras kami memperjuangkan nasib artis dangdut akhirnya dipandang juga. 

"Ini merupakan konsert terbesar untuk genre dangdut kerana sebelum ini belum ada lagi konsert untuk penyanyi-penyanyi dangdut menunjukkan kebolehan mereka," ujarnya. 

Tambah Ifa, konsert tersebut juga bakal mengangkat martabat penyanyi dangdut sama dengan penyanyi-penyanyi lain di negara ini. 

Selain Ifa, konsert yang diadakan secara percuma itu bakal menampilkan penyanyi popular seperti Amelina, Salwa Abdul Rahman, Roger Kajol, Fitri Hiswady dan Elda Susanti.

Ifa Raziah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain