BEKAS pelajar Akademi Fantasia 2015, Bila berasa diri dia masih belum layak untuk berada di pentas Akademi Fantasia Megastar. Bila atau Nurnajmi Nabila Samsaidi, 21, berkata dia ada menghadiri uji bakat untuk program tersebut namun tidak berjaya. "Saya ada pergi uji bakat AF Megastar tapi tidak dipilih. Mungkin itu rezeki rakan-rakan yang lain bukannya saya. "Ramai yang tanya kenapa tak masuk program ini. Saya rasa diri belum cukup bagus dan tak layak lagi untuk menyertai program tersebut. "Mungkin juga waktu uji bakat itu saya tidak buat yang terbaik," kata Bila kepada mStar Online. Bila tidak terpilih untuk menjadi salah seorang pelajar AF Megastar. Bila ditemui ketika menghadiri sidang media Sound Valley Festival 2015 di Talent Lounge, Petaling Jaya pada Selasa lalu bagi memberi sokongan kepada bapanya, Eddie, pemain bes Wings. Kumpulan Wings, Bunkface, Hujan dan May antara yang akan membuat persembahan di festival tersebut yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang pada 11 dan 12 November depan. Menurut Bila, pada mulanya dia tidak merancang untuk ke uji bakat tersebut namun berubah fikiran selepas dipujuk bapanya. Biarpun gagal menjadi salah seorang peserta, Bila tidak akan berputus asa untuk mencari peluang untuk mengembangkan bakat nyanyiannya. Ayah Bila banyak memberi sokongan dan nasihat dalam bidang seni. Foto Instagram @billa_najmi. "Pada mulanya, saya rasa takut. Yalah... semua yang pergi itu hebat-hebat dan saya biasa sahaja. Tapi ayah yang pujuk saya untuk pergi juga uji bakat itu. "Kalau ikutkan hati memang saya tak nak. Namun, tidak berjaya bukan bermaksud saya perlu mengalah. "Insya-Allah saya sentiasa mencari peluang untuk kembangkan bakat nyanyian," ujarnya. AF Megastar kini memasuki minggu separuh akhir di mana tujuh lagi peserta iaitu Idayu, Syamel, Bob, Marsha, Shahir, Amir dan Amir Jahari akan bersaing pada Ahad ini. Dalam perkembangan nyanyian, Bila kini sedang sibuk mencari lagu yang baru untuk dimasukkan dalam mini albumnya akan datang.