PELAKON Tiz Zaqyah menegaskan dia tidak perlu sebarang kedudukan dalam Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bagi menyuarakan pendapat terhadap fungsi pertubuhan tersebut. Tiz berkata, apa yang disuarakannya pada Rabu lalu mengenai isu yang sudah dan sering diutarakan oleh ahli-ahli lain setiap kali Mesyuarat Agung Seniman diadakan. "Saya tak perlu posisi dalam Seniman. Cukuplah saya sebagai ahli. Ikhlas, sekadar bertanya dan memberi pendapat dan sudah tentu mewakili ahli yang lain. "Saya tidak mencari salah, sebelum ini saya tidak pernah mempersoalkan perkara ini. Soalan-soalan saya telah dikemukakan berkali-kali dalam mesyuarat tapi tiada penyelesaian sehingga sekarang, menyedihkan," tulisnya menerusi Instagram pada Jumaat. Tiz mengulas tentang kenyataan Presiden Seniman iaitu Zed Zaidi pada Khamis yang meminta pelakon Nur Kasih itu untuk menghadiri mesyuarat persatuan itu jika ada cadangan atau masalah. “Tiz Zaqyah Banyak Cakap? Datanglah Mesyuarat" - Zed Zaidi Tiz kecewa jawapan Zed Zaidi. Terdahulu pada Rabu, aktres berkenaan meluahkan rasa kecewa terhadap industri seni tanah air dan mempersoalkan fungsi persatuan berkenaan dalam menjaga kebajikan ahli. Tambah Tiz, apa yang dimaksudkannya mengenai persatuan negara lain agar badan kebajikan artis di negara ini menjadikan mereka sebagai contoh untuk bergerak lebih baik. "Saya bukan samakan tapi jadikan negara lain sebagai contoh dalam waktu bekerja, kesihatan dan kes kru meninggal di set. Berapa banyak kawan yang kita hilang kerana terlalu terbeban dengan kerja," tulisnya. Sementara itu, Tiz turut berasa kecewa dengan jawapan dan kenyataan Zed sebagai presiden dengan turut melabelkannya sebagai 'banyak cakap'. Katanya, Zed seharusnya menjadi contoh dan ketua yang baik kepada ahli-ahli Seniman. "Dia sebagai ketua sepatutnya bersifat melindungi dan meyokong, bukan menuduh banyak cakap. Saya rasa tidak selamat kerana ada netizen yang serang saya secara peribadi," ujarnya.