suria

Gegar Vaganza Batu Loncatan Aqasha

Aqasha melihat penyertaannya dalam Gegar Vaganza dapat merancakkan kembali karier nyanyiannya. Foto IZZRAFIQ ALIAS

PELAKON Aqasha melihat penglibatannya menerusi Gegar Vaganza musim keempat sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan kembali namanya sebagai penyanyi.

Kata Aqasha atau Firdee Akassya Rosli ini, penyertaannya itu juga adalah sebagai tanda dia ingin kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas lama memberi tumpuan kepada lakonan.

"Selepas tiga musim Gegar Vaganza saya lihat ramai penyanyi yang sudah tidak aktif kembali mendapat tempat dalam kalangan peminat.

"Saya lihat ini adalah platform terbaik untuk saya kembali menjenamakan diri sebagai penyanyi tambahan pula nyanyian tidak pernah padam dalam diri saya.

"Malah ada peminat sampai terlupa bahawa sebelum berlakon saya memulakan karier sebagai penyanyi," katanya.

Aqasha tidak pernah lupakan bidang nyanyian.

Dalam pada itu, Aqasha, 35, berkata, dia sebelum ini tidak aktif menyanyi bukan kerana sudah tidak meminati bidang itu sebaliknya rezeki dalam lakonan lebih menyerlah.

Bagaimanapun katanya, dia tidak pernah melupakan cintanya terhadap nyanyian dan sebab itu tidak melepaskan peluang apabila ditawarkan menyertai Gegar Vaganza musim keempat.

"Rezeki saya sebelum ini tidak banyak sebagai penyanyi tetapi menjurus ke arah lakonan.

"Sebab itu saya dilihat lebih menyerlah dalam lakonan berbanding nyanyian tetapi rindu hendak menyanyi itu sentiasa ada," jelasnya.

Bercakap mengenai persediaan bertanding, Aqasha berkata dia sedang giat menjalani latihan lagu-lagu bergenre seperti tradisional dan R&B kerana itu bukan kemahirannya.

Kesemua peserta yang bakal bertanding pada Gegar Vaganza musim keempat.

"Saya sebelum ini banyak menyanyikan lagu-lagu berentak pop dan rock jadi saya perlu bersedia dengan genre lain kerana dalam Gegar Vaganza setiap minggu temanya berbeza.

"Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik kerana ini adalah peluang saya tetapi pada masa sama ada juga rasa gementar kerana sudah lama tidak menyanyi dihadapan penonton yang ramai," ujarnya.

Untuk rekod, Aqasha pernah menghasilkan tiga buah album iaitu Cahaya Hati pada 2000, Impian (2002) dan Qashanova (2011). Antara lagu popularnya adalah Embun dan Cahaya Hati.

Gegar Vaganza musim keempat yang akan memulakan siaran pada 29 Oktober ini turut menampilkan persaingan daripada Hazami, Lan Kristal, Tia Jinbara, Ferhad dan Firman.

Manakala peserta wanita adalah Aishah, Liza Hanim, Haida, Syura, Raja Azura dan Elyana.

Aqasha, Gegar Vaganza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dua Amir Terpaksa Gigit Jari

Artikel Lain