PELAKON Nur Afifah Nasir berkata dia sudah meminta maaf secara peribadi kepada isteri Aliff Aziz iaitu Bella Astilah selepas dituduh menyindir penampilan wanita berkenaan. Afifah, 24, berkata, hashtag yang digunakan pada salah satu foto yang dimuat naik baru-baru ini tidak berniat untuk menyindir mana-mana pihak. "Saya sudah selesaikan isu itu dan menghantar mesej peribadi kepada Bella jika dia terasa dengan perkara itu. "Saya sudah move on dan gambar serta hashtag itu bukanlah ditujukan kepada dia," ujarnya kepada mStar Online. Foto yang dimuat naik Afifah didakwa sindir Bella Astillah. Afifah berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kehidupannya selepas kontroversi dia keluar karaoke bersama penyanyi Aliff Aziz yang juga suami Bella. Pelakon Izinkan Aku Mencintaimu itu dikecam netizen apabila memuat naik tanda pagar #GentingjebukanLondon #takpaytahpakaitebal2sis itu pada bulan lalu yang didakwa menyindir Bella yang bercuti di Genting Highlands. Sementara itu, Afifah menegaskan dia sudah memulakan kehidupan baharu dan tidak mahu mengulas panjang isu berkenaan. Bella dan Aliff bercuti di Genting Highland baru-baru ini. Dalam pada itu, adik kepada pelakon Anzalna Nasir ini turut berkata, kehidupannya sudah kembali normal daripada pandangan negatif masyarakat. "Saya tidak mahu fikir tentang isu itu lagi. Kehidupan saya pun sudah kembali normal dan tiada kecaman seperti dahulu. "Jika keluar berjalan pun orang tegur dengan baik, tiada pula yang marah atau sindir secara depan-depan," ujarnya. Tambahnya, rezeki lakonan juga semakin murah dan dia kini sibuk dengan penggambaran drama Syurga Yang Kedua.