suria

Sazrin Aizul Jadi Penyanyi Selepas Bergelar Model

Sazrin tampil dengan single pertama berjudul Saat dan Ketika.

DUA belas tahun menceburkan diri dalam bidang peragaan, model Sazrin Aizul Zailani kini mencuba nasib dalam bidang nyanyian dengan menghasilkan single pertamanya berjudul Saat dan Ketika.

Sazrin berkata, dia meletakkan harapan tinggi untuk berjaya dalam bidang nyanyian kerana ia adalah minatnya sejak dari kecil dan bersyukur akhirnya impian itu terlaksana.

"Sejujurnya, saya meletakkan harapan cukup tinggi dalam bidang nyanyian kerana ia menjadi minat sejak kecil lagi.

“Tidak hanya itu, saya berdoa agar apa saja karya yang dikeluarkan selepas ini akan menerima sokongan membanggakan daripada semua sepanjang saya bergiat dalam industri ini," katanya.

Sebelum ini Sazrin banyak bekerjasama dengan jenama mewah bertaraf antarabangsa sebagai model seperti Gucci, Canali, Dolce & Gabanna, Vertu, Quicksilver, Adidas dan Levi's.

Sazrin juga bergelar pelakon.

Kini Sazrin bernaung bawah syarikat pengurusan yang dikendalikan oleh Datuk Fazley Yaakob iaitu SukaSucre Creatives (SSC).

Bercakap lanjut mengenai Saat dan Ketika, Sazrin berkata, dia bertuah kerana dapat berkolaborasi dengan komposer dan penulis lirik iaitu Sirkhan dan Karnaen yang pernah menghasilkan lagu popular untuk penyanyi seperti Haqiem Rusli dan Wany Hasrita.

Katanya, Saat Dan Ketika merupakan sebuah naskhah berkisar seorang lelaki yang menempuh pelbagai rintangan di jalan depannya sebelum tercapai hasrat bagi mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hati.

“Alhamdulillah, proses merekod Saat dan Ketika berlangsung dengan jayanya beberapa bulan lalu.

"Menariknya, ia hanya mengambil tempoh dua hari termasuk merakam dan penambahbaikan terhadap lagu itu agar menjadi karya berkualiti sekali gus menepati cita rasa pendengar," katanya.

Sazrin Aizul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Liza Hanim Bukan Lagi 20-an

Artikel Lain