suria

Tak Ambil Kesempatan Nama Febians

Febians yang dahulunya popular dengan lagu Penantian dan Untuk Mu Sayang tampil dengan single baharu Untuk Apa Lagi menerusi album kompilasi ini.

PENERBIT Meenz Music Record, Wawa Jinggo menangkis dakwaan dia menggunakan nama kumpulan era 80-an, Febians untuk menjual album kompilasi penyanyi-penyanyi baharu naungannya.

Wawa atau nama sebenarnya Azi Azuwa Sarinin berkata, meskipun penyanyi dan band dalam album itu tidak popular seperti Febians, mereka juga memiliki kekuatan sendiri.

"Memang kita tahu mereka kurang terkenal berbanding Febians, tetapi semua ada aura dan kelebihan masing-masing.

"Tak ada isu tumpang nama Febians. InsyaAllah kalau ada peluang, lepas ini kita akan keluarkan album khusus untuk Febians pula," katanya kepada mStar Online.

Wawa ditemui sewaktu pelancaran album kompilasi Meenz Music Record di Comedy Planet, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Album kompilasi itu memuatkan tujuh lagu nyanyian dua artis solo Feerul Ali dan Melissan Aeen, serta lima kumpulan muzik seperti Febians, Proses Band, Jade, Meteoras dan D´Meynez.

Penyanyi dan kumpulan yang bernaung dalam Meenz Music Record sewaktu pelanacara album kompilasi mereka di Comedy Planet, baru-baru ini.

Menurut Wawa, album itu dijual secara eksklusif dan boleh didapati melalui portal Meenz Music Record.

Dalam pada itu, Wawa mengharapkan agar kesemua lagu dari album tersebut akan diterima oleh peminat.

"Saya sasarkan agar lagu-lagu ini dikenali ramai dan berjaya menambat hati pendengar.

"Saya juga berurusan dengan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) bagi mendapatkan tunjuk ajar supaya album ini lebih berjaya," katanya.

Dalam rangka promosi album kompilasi itu, Meenz Music Record akan mengadakan roadshow di Pasir Gudang pada 28 Oktober depan.

Meenz Music, Febians

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain