suria

Achey Tak Tercabar Dengan Kamal Adli

Kamal Adli (tengah) diumum sebagai juara Super Spontan Superstar 2017, manakala Fad (kiri) di tempat kedua dan Achey mendapat tempat ketiga.

PEMENANG tempat ketiga Super Spontan Superstar 2017 iaitu Achey tidak melihat kemenangan Kamal Adli menerusi pertandingan itu sesuatu yang dapat mencabar kredibiliti pelawak secara keseluruhan kerana dia seorang pelakon.

Sebaliknya kata pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah ini, jika dikaji mengenai lawak secara spontan, sebelum ini ia dipelopori oleh pelakon, manakala pelawak hanya sebagai penyeri.

Antara pelawak yang bertanding di pentas akhir Super Spontan Superstar 2017.

"Bukan sesuatu yang pelik kerana sebelum ini pun komedi spontan seperti ini dimulakan oleh pelakon seperti Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isacc, Douglas Lim, Harun Salim Bachik, semuanya asal sebagai pelakon.

"Kemenangan Kamal ini seperti sirih pulang ke gagang dan siapa tahu pada musim akan datang ada ahli sukan, orang biasa atau wartawan yang masuk dan menang?" katanya.

Pada gelanggang akhir Super Spontan Superstar 2017 malam Jumaat lalu, Fad dan Achey yang juga anggota kumpulan Bocey masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan RM25,000.

Manakala Kamal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Gelagat peserta akhir yang mencuit hati.

Sementara itu, seorang lagi anggota Bocey, Fad tidak menjangkakan kemenangannya sebagai naib juara kerana penglibatannya hanya semata-mata memeriahkan suasana.

Malah kata Fad, kecederaan pada bahagian lulut kirinya juga membataskan pergerakan sekali gus mengehadkan peluangnya untuk mendapat tempat tiga terbaik.

"Isnin lalu saya bermain bola sepak bersama rakan-rakan dan secara tidak sengaja ada orang sepak lutut saya dari tepi sehingga menyebabkan lutut saya beralih.

"Memang sakit dan pergerakan jadi terbatas sekaligus membuatkan persembahan tidak menyeluruh tetapi Alhamdulillah rezeki saya dan memang tak sangka langsung," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain