PETALING JAYA: Keadaan pelakon era 1980-an, Azmil Mustapha yang dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada Isnin lalu kembali stabil dan beransur pulih. Adik kepada Azmil, 64, iaitu Aziph Mustapha ketika dihubungi berkata, keadaan abangnya itu menunjukkan perkembangan positif selepas kesukaran bernafas namun masih perlu berehat dan mendapatkan rawatan untuk pulih sepenuhnya. "Alhamdulillah keadaan beliau semakin pulih dan ceria namun kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Kardiologi bagi memastikan keadaannya stabil. "Azmil dirawat dengan baik oleh doktor yang menjaganya dan Insya-Allah beliau perlukan sedikit masa lagi untuk pulih," katanya kepada mStar Online. Aziph memberitu abangnya itu mengadu penat ketika sedang menghadiri mesyuarat bersama beberapa rakannya sebelum salah seorang daripada mereka membawanya ke hospital. Katanya lagi, Azmil pada awalnya dirawat di wad kecemasan PPUM namun dia dipindahkan ke Unit Rawatan Kardiologi untuk pemantauan lanjut. "Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatannya namun saya bagi pihak keluarga meminta agar Azmil diberi ruang privasi agar beliau dapat berehat dengan tenang," ujarnya. Pada Januari tahun lalu Azmil pernah di tempatkan di Unit Rawatan Kardiologi, Hospital Putrajaya akibat penyakit jantung. Ketika itu, keadaan pelakon filem Ali Setan ini tidak sedarkan diri selain menggunakan alat bantuan hayat.