suria

Jadi Ke Bertunang...? Fattah Suka Kejutan

Fazura dan Fattah kini terlibat dalam filem televisyen 'Wanita Terindah' siaran Astro First Eksklusif. Foto SHAARI CHE MAT

PASANGAN pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin terus berteka-teki mengenai desas-desus mengatakan mereka bakal mengikat tali pertunangan pada 13 November ini.

Sebaliknya mereka tidak mengiyakan atau menafikan dakwaan itu namun meminta peminat mendoakan yang terbaik mengenai hal berkenaan.

"Saya suka buat kejutan... Tempoh hari saya beri bunga kepada Fazura pun semua orang tidak tahu.

"Apa yang boleh saya katakan selagi tidak keluar apa-apa daripada mulut kami berdua, doakan yang baik-baik," kata Fattah.

ARTIKEL BERKAITAN: Fazura Menakjubkan, Paling Manis Kata Fattah

Pasangan ini tidak akan menyembunyikan sekiranya ada sebarang berita baik.

Pasangan itu ditemui pada majlis tayangan perdana filem televisyen (FTV) berjudul Wanita Terindah yang diadakan di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Selain Fazura, 34,  dan Fattah, 27,  Wanita Terindah turut membariskan pelakon seperti Sarah Hildebrand, Liza Othman, Adam Mika, Ridzuan Hashim dan Samantha Katie James.

Ia disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula Khamis.

Dalam pada itu, Fazura pula berkata, mereka berjanji tidak akan menyembunyikan sebarang perkhabaran gembira mengenai hubungan mereka sekiranya ada sesuatu yang baik pada masa hadapan.

"Jika ada berita baik kami akan beritahu dan tidak akan mengenepikan wartawan yang banyak menyokong kami.

Barisan pelakon Wanita Terindah yang hadir pada malam tayangan perdana yang diadakan pada malam Rabu.

"Doa yang baik-baik kita Aminkan kerana tiada yang tidak elok selain doa-doa yang baik buat kami," ujarnya.

Bercakap mengenai Wanita Terindah, Fattah berkata tidak sukar mencari keserasian dengan Fazura kerana sebelum ini pernah bekerjasama dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

Malah katanya, pengalaman sebelum ini banyak mematangkan teknik lakonannya memandangkan peranan dia sebagai Fahim dalam FTV itu sangat berbeza daripada apa pernah dibawanya sebelum ini.

"Saya seorang yang bertuah kerana dikelilingi oleh ramai pelakon dan produksi berpengalaman yang banyak membantu saya menghidupkan watak.

"Tidak senang sebenarnya kerana watak Fahim adalah seorang lelaki yang panas baran dan saya perlu kekalkan momentum itu agar ia tidak lari.

Fazura dan Fattah dikaitkan bercinta namun sejauh manakah kebenarannya?

"Berlakon di samping Fazura juga mudah kerana kita sudah ada keserasian dan sebagai pelakon berpengalaman luas dia juga banyak membantu saya di set penggambaran," jelasnya.

Manakala Fazura pula memberitahu menerusi Wanita Terindah Fattah semakin matang dan menegaskan dia bukan lagi pelakon 'kayu' seperti diperkatakan sebelum ini.

Karya itu juga kata Fazura memperlihatkan mereka berlakon bukan sebagai pasangan kekasih dalam menampilkan kelainan kepada peminat.

"Kalau asyik berlakon sebagai kekasih penonton pun akan bosan juga dan Wanita Terindah adalah projek berlainan untuk kami.

"Ia beri peluang kepada peminat untuk melihat kami dalam watak dan situasi berbeza dan bukannya sekadar 'menjual' kisah cinta semata-mata," jelasnya.

Fazura, Fattah Amin, Wanita Terindah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain