AKTRES Diana Danielle meluahkan rasa syukur dan menganggap keseronokan dalam melayari perkahwinan yang dibina selama lima tahun bersama aktor Farid Kamil kini baharu sahaja bermula. Diana, 25, berkata, realiti kehidupan yang dilalui pada hari ini iaitu kira-kira 10 tahun selepas menyulam cinta dengan aktor itu adalah lebih baik daripada yang difikirkan ketika awal percintaan mereka. "Lima tahun dalam perkahwinan dan 10 tahun bersama anda dan keseronokan baru sahaja bermula @Faridkamilz. Sekarang kita berempat mengharungi kehidupan. "Mari katakan, realiti kehidupan sekarang lebih baik daripada yang kita imaginasikan ketika kita mula-mula bersama dahulu," luahnya di Instagram pada Jumaat. Diana dan Farid berkahwin pada 3 November 2012 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 4, dan Nur Aurora yang kini berusia dua tahun. Foto yang dimuat naik Diana pada Jumaat. Foto perkahwinan yang dimuat naik Diana di Instagram sejam yang lalu itu mendapat lebih 100 komen netizen yang rata-rata peminat mengucapkan tahniah kepada pasangan ini. Peminat kedua-dua selebriti ini juga memberi kata-kata semangat dan berharap aktres itu dapat menempuh apa juga dugaan dalam rumah tangga mereka. Hubungan rumah tangga pasangan ini sering menjadi perhatian dan pernah terpalit dengan isu berantakan, namun kedua-dua mereka menafikan perkara berkenaan dan menganggap ia sekadar gosip.