PENYANYI Aishah akan mempertimbangkan pelawaan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo yang ingin menaja busana istimewa khas untuknya jika berjaya ke peringkat akhir Gegar Vaganza 4 (GV4). Menurut Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, buat masa ini dia tidak mahu lagi memikirkan tentang soal tajaan tersebut kerana perjalanan dalam GV4 masih panjang lagi. "Saya maklum tentang pelawaan daripada Calvin itu, namun buat masa ini tidak mahu fikirkan lagi tentang tawaran itu. Benarkah Tiada Siapa Mahu Taja Aishah? Penampilan Aishah di pentas GV4 menjadi perhatian peminat dan netizen. "Iyalah, perjalanan untuk ke final jauh lagi, masih ada beberapa minggu lagi dan dalam pertandingan apa-apa pun boleh berlaku. "Sekarang ni kita enjoy dulu dengan konsert dan saya mahu fokus dengan persembahan minggu depan," katanya kepada mStar Online. Calvin Thoo menerusi kenyataan di sebuah portal berita menyatakan hasrat untuk menghadiahkan Aishah busana istimewa untuk digayakan pada pentas final GV4. Terdahulu, penampilan Aishah pada minggu kedua Ahad lalu mendapat kritikan segelintir netizen yang menganggap gaun berwarna merah dipakainya tidak sesuai dengan status dia yang sudah dianggap legenda. Calvin Thoo (tengah), sering menaja pakaian selebriti popular negara. Malah, timbul desas-desus mengatakan, penyanyi lagu Janji Manismu ini tidak mendapat sebarang tajaan baju seperti peserta yang lain. Bagaimanapun, Aishah menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan telah menerima banyak tawaran daripada pereka fesyen yang mahu menghasilkan baju untuknya. "Kelakar pula bila kecoh fasal baju, sekarang ni banyak pula yang tawar nak buatkan baju untuk saya, rasa sungguh terharu. "Minggu depan dah ada baju sponsor untuk saya, tapi siapa pereka baju itu, biarlah rahsia," ujarnya. Amir Kadir berhasrat menaja pakaian Aishah sepanjang rancangan GV4. Sementara itu, pereka fesyen terkenal Amir Kadir menzahirkan hasratnya untuk menaja pakaian Aishah sepanjang berada di pentas GV4. Amir yang pernah mereka baju untuk digayakan oleh bintang Hollywood seperti Paris Hilton, Taylor Swift dan Jessi J turut tertarik memberikan sentuhan gaya kepada Aishah. "Selama 16 tahun saya bermastautin di sana (Dubai) termasuk di Kuwait City, Kuwait dan tahun lalu saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air bagi meneruskan karier sebagai pereka fesyen. "Dulu ketika memulakan kerjaya di Malaysia, nama Aishah begitu gah dan kini sekembalinya ke sini, saya terpanggil untuk menajanya memandangkan kami rakan seangkatan. "Tambahan pula selepas tular di media sosial mengenai isu penajaan baju Aishah membuatkan saya mahu menawarkan tajaan ini,” katanya.